HOKI
Piala Dunia Hoki Dalam Dewan: Austria medan skuad negara panas badan, perkemas taktikal
Menjelang Kejohanan Piala Dunia Hoki Dalam Dewan bulan depan, tempoh latihan dan perlawanan ujian di Austria harus digunakan sewajarnya oleh skuad kendalian Rodhanizam Mat Radzi untuk mencari keserasian dalam pasukan.
Ketika sidang media pengenalan pemain yang akan menggalas tugas di Croatia, Rodhanizam turut menegaskan transisi daripada permainan padang tidak menjadi masalah buat anak buahnya mempamerkan aksi terbaik.
Fokusnya kini adalahuntuk mempersiapkan pasukan dan menerapkan segala strategi berkesan untuk mengekang asakan pihak lawan yang merupakan kuasa besar dalam kancah dunia hoki.
Iklan
"Memang kami lepaskan semua pemain beraksi di liga, kami tidak menganggu langsung. Apabila kami pergi ke Austria nanti, kami akan hadapi empat perlawanan dengan kelab di sana dan latihan.
"Dalam latihan, kami akan fokus daripada aspek taktikal hoki dalam dewan, dan akan ada masa untuk perkemaskan aksi kami," katanya.
Dalam pada itu, tonggak berpengalaman, Najmi Farizal Jazlan, pula tidak berselindung akan kegembiraanya apabila dipanggil menyertai skuad negara ke Croatia nanti.
Sebagai pemain yang pernah beraksi dalam kejohanan itu dalam edisi 2023, Najmi tekad membantu pasukan bagi melakar sejarah tersendiri sambil menyasarkan untuk menewaskan pasukan besar.
"Saya berasa gembira dapat bantu sukan hoki dalam dewan ke Piala Dunia, setiap kejohanan yang saya sertai saya mahu cipta sejarah untuk diri saya." tambahnya.
Must-Watch Video