HOKI

Piala Dunia Hoki 5s: Akhimullah utamakan maruah Malaysia berbanding nilai elaun latihan

02/02/2024 | 14:01 MYT
Kapten skuad hoki 5s negara, Akhimullah Anuar Esook, menyatakan nilai elaun latihan yang rendah bukan halangan untuk mereka sebaliknya mendahulukan maruah negara setiap kali turun beraksi.
Akhimullah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Pemain Terbaik Piala Dunia Hoki 5s di Muscat, Oman susulan mereka menamatkan saingan selaku naib juara.
Menjelang aksi final, Stadium Astro melaporkan barisan pemain kebangsaan hok 5s sekadar meraih yuran elaun RM40 sehari.
Ditemui selepas tiba di Malaysia, Akhimullah menjelaskan nilai elaun yang rendah bukanlah halangan mereka sebaliknya sentiasa meletakkan nama Malaysia di hadapan apabila beraksi bersama skuad kebangsaan.
"Nilai elaun yang rendah bukanlah masalah, kami telah diajar dan diterap untuk bermain demi Malaysia. Fokus utama kami adalah mahu memastikan aksi yang terbaik dalam setiap perlawanan," katanya menerusi Nadi Arena.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan membayar semula kos penyertaan skuad hoki negara di Oman dengan nilai sekitar RM300,000 selepas Malaysia muncul naib juara Piala Dunia Hoki 5 sepasukan (5s).
Lebih menarik, KBS juga setuju menghadiahkan RM80,000 selepas skuad kendalian Wallace Tan tewas, 2-5 kepada Belanda di final.
;