HOKI

Piala Dunia FIH: Afrika Selatan benam Malaysia

Ammar Hakim 26/01/2023 | 10:44 MYT
Selepas tewas tipis kepada Sepanyol aksi cross over saingan Piala Dunia Hoki, Malaysia kelihatan berpeluang mencatat kemenangan ke atas Afrika Selatan sebaliknya The Speedy Tigers tewas 6-3.
Kekalahan di tangan Afrika Selatan menyaksikan mMalaysia kini perlu beraksi dalam klasifikasi tempat ke -13 hingga 16.
Persembahan skuad kendalian Arul Selvaraj agak longgar terutama di bahagian tengah dan pertahanan.
Afrika Selatan tidak mengambil masa lama untuk menjaringkan gol pembukaan menerusi Bradley Sherwood.
Malaysia seakan sukar untuk mengekang Afrika Selatan dan pada minit ke-17 mereka berjaya menggandakan jaringan kali ni menerusi Guy Morgan yang menewaskan Hafizuddin Othman.
Sebelum separuh masa, Afrika Selatan semakin mengukuhkan kedudukan, Nqobile Ntuli menjadikan kedudukan 3-0 menuju rehat.
Sebaik perlawanan bersambung, Malaysia bangkit menerusi Razie Rahim yang menyuntik semangat pasukan negara.
Namun belum sempat Malaysia merapatkan jurang kedudukan, Afrika Selatan mengganas sekali lagi kali ini gol keempat menerusi gol padang Keenan Horne.
Misi semakin sukar untuk Malaysia apabila hanya seminit kemudian Afrika Selatan membolosi gawang Malaysia.
Jaringan Mustafa Cassiem itu seakan menutup pintu untuk Malaysia yang masih ketinggalan jauh dan perlu keajaiban untuk sekadar seri.
Namun semangat juang Malaysia dan Razie sekali lagi menemui jaringan, gol kedua Malaysia tidak cukup untuk mengejar Afrika Selatan dan situasi semakin sukar apabila gol keenam dijaringkan yang turut menjadi gol kedua Sherwood dalam perlawanan ini.
Firhan Ashari menjaringkan gol ketiga pasukan sekaligus Malaysia menamatkan perlawanan dengan kekalahan 6-3.
Malaysia akan sekali lagi turun beraksi bertemu di antara Jepun atau India untuk klasifikasi ke-13 hingga ke-16.
;