Skip to main content

Sukan Lain

Piala Dunia Boling Padang: SD Guthrie sumbang insentif RM50,000 buat pemenang emas, gangsa

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

lawn-bowls-insentif.jpg
Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (Lawn Bowls Malaysia) dalam satu sebaran media sebentar tadi, dengan sukacitanya mengumumkan bahawa SD Guthrie Berhad (Guthrie), selaku penaja Pakej Emas bagi Kejohanan Boling Padang Piala Dunia 2025, telah bersetuju menghulurkan insentif kemenangan berjumlah RM50,000 kepada atlet negara yang meraih pingat emas dan gangsa dalam kejohanan berkenaan.

Ahli-Ahli Majlis Persekutuan Lawn Bowls Malaysia dan Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Guthrie Berhad menjunjung setinggi-tinggi kasih atas limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan Terengganu, yang juga Penaung DiRaja Bowls Malaysia, untuk menyempurnakan penyampaian insentif tersebut.

Dalam edisi pertama kejohanan itu, yang diadakan pada 3 November hingga 8 November lalu, skuad Malaysia muncul sebagai juara keseluruhan dengan pungutan mata sebanyak 117 mata mengatasi Australia dengan kutipan 111 mata. Untuk rekod, skuad negara meraih satu emas dan tiga gangsa secara keseluruhan.

Atlet Malaysia yang memenangi pingat dalam kejohanan itu adalah seperti berikut: 

Pingat Emas 
• Emma Firyana Saroji (Perseorangan Wanita) 

Pingat Gangsa 
• Nurul Alyani Jamil (Perseorangan Wanita) 
• Izzat Shameer Dzulkeple (Perseorangan Lelaki) 
• Jariah Zakaria (Perseorangan Para Wanita)

Kejohanan itu disertai oleh 12 negara, iaitu Malaysia sebagai tuan rumah, selain Australia, Kanada, England, Hong Kong, India, Ireland, New Zealand, Scotland, Afrika Selatan, Amerika Syarikat dan Wales.

Setiap negara diwakili enam atlet yang bertanding dalam kategori terbuka lelaki, kategori terbuka wanita serta kategori para lelaki dan para wanita.

Insentif ini susulan tajaan berjumlah RM100,000 buat pasukan boling padang negara, yang disalurkan menerusi cabang filantropi Guthrie.

Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia, Datuk Awalan Abdul Aziz, menzahirkan penghargaan kepada Guthrie atas sumbangan dan komitmen berterusan terhadap sukan Lawn Bowls di Malaysia.

“Lawn Bowls Malaysia amat menghargai sokongan padu yang diberikan oleh Guthrie. Insentif ini bukan sahaja menjadi pengiktirafan kepada kejayaan atlet kita, malah menjadi dorongan kepada mereka untuk terus mencapai kecemerlangan di peringkat antarabangsa,” katanya.
 
Garmin

Lebih Dari Sekadar Jam

Jam Garmin ini bantu anda jejak setiap langkah, degupan & pencapaian dengan tepat.


Grab Sekarang

Advertisement

Must Watch Video