Skip to main content

Tenis

Piala Davis: Skuad negara berdepan ranjau berliku

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

suresh-menon.jpg
Misi Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) untuk melayakkan diri ke saingan Kumpulan 2 Zon Asia-Oceania, Piala Davis, musim depan semakin pudar selepas dilanda beberapa masalah.

LTAM berdepan kesulitan apabila Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) bertindak menstrukturkan semula kejohanan itu.

Ia sekali gus mengakibatkan Kuwait dan Vietnam, yang sepatutnya mengisi Kumpulan 2 musim ini, dikekalkan dalam Kumpulan 3 bersama Malaysia.

Selain itu, ketua jurulatih negara, Suresh Menon, menjelaskan bahawa bebanan pasukannya semakin bertambah apabila tonggak acara perseorangan, Ahmad Deedat Abdul Razak, bertindak menarik diri daripada skuad negara.

"Dia sudah memilih untuk berhenti tanpa mendapatkan pengesahan daripada pihak doktor.

"Ia amat mengecewakan kerana dia memaparkan peningkatan dengan amat baik.

"Saya meletakkan harapan yang tinggi ke atasnya, terutama selepas melihat aksinya di Thailand dan kejohanan tempatan.

"Ia memberikan kesan yang mendalam kepada kami," katanya.

Ahmad Deedat mengalami kecederaan buku lali ketika menentang wakil Indonesia, David Agung Susanto, dalam aksi final Kejohanan Sirkit Kebangsaan Kedua di Pusat Tenis Negara, 20-24 Mac lalu.

Suresh, bagaimanpun, memilih pemain pelapis di ranking keempat negara, Naufal Siddiq Kamaruzzaman, sebagai pengganti Ahmad Deedat.

Advertisement

Must Watch Video