HOKI

Piala Asia: Skuad hoki perlu rangka perancangan lebih jitu - Arul Selvaraj

Shaiful Shamsudin 02/06/2022 | 10:45 MYT
Prestasi cemerlang belum memadai buat negara mendominasi Piala Asia 2022, lantas Arul Selvaraj percaya terhadap perancangan yang lebih teliti.
Malaysia tewas 1-2 dalam final di Stadium Geloro Bung Karno, Jakarta, malam tadi, selepas Hwang Tae-il muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-52 untuk Korea Selatan menjulang kejuaraan kelima.
"Saya akan duduk bersama-sama pemain, bersemuka dengan mereka untuk mengkaji sumbangan menyeluruh mereka di dalam dan luar padang.
"Ini kerana untuk membentuk sebuah pasukan, kami harus membina keluarga.
"Kami perlu berusaha dan berjuang. Mungkin kekalahan perit ini mampu mencetuskan kejayaan (selepas ini)," kata ketua jurulatih negara itu.
Biarpun Malaysia gagal menamatkan kemarau 40 tahun untuk mengucup trofi Piala Asia, namun mereka tetap menampilkan aksi memberangsangkan dan lebih manis lagi apabila Razie Rahim dinobatkan sebagai penjaring terbanyak.
Lantaran itu, Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal, turut melaungkan kesediaan untuk memudahkan perancangan Arul, antaranya mempelawa lebih banyak perlawanan ujian berkualiti tinggi dengan pasukan di ranking lebih tinggi tatkala The Malaysian Hockey Tigers menduduki tangga ke-10 ketika ini.
"Dalam perlawanan kami tidak semestinya menang, tapi ia juga menjadi (medan) untuk menimba ilmu.
"Kami pernah kalah 0-10 kepada Australia. Baru-baru ini dalam perlawanan persahabatan, New Zealand mengalahkan Australia 8-1, jadi ia bukan pengukur adakah sesebuah pasukan itu kuat atau tidak.
"Tapi kami akan cuba dapatkan perlawanan persahabatan dengan negara kuat seperti Belanda dan Belgium, begitu juga India -- apa salahnya.
"Itu adalah salah satu perancangan dalam minda Arul Selvaraj," katanya pula.
#Hoki #Piala Asia #The Malaysian Hockey Tigers
;