Pengerusi Jawatankuasa Induk Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025, Datuk Mohd Sumali Reduan, berang dan kecewa dengan sikap acuh tak acuh Thailand yang gagal menepati tempoh masa ditetapkan bagi penyertaan Piala Asia.
Tegas Sumali, tiada negara berhak diberi layanan istimewa dan jangan sesekali jadikan sepak takraw sebagai sukan bertaraf kampung.
Jelas sumali, tindakan Thailand berdiam diri sehingga tarikh akhir pengesahan penyertaan pada 31 Disember 2024 jam 5 petang seolah-olah memberi isyarat mereka tidak berminat untuk menyertai kejohanan yang julung kalinya dianjurkan itu.
Tambahnya, Persatuan Sepak Takraw Thailand boleh mengemukakan rayuan kepada Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) jika masih berhasrat untuk menyertai kejohanan yang dijadualkan berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur dari 9 hingga 18 Mei depan.
Sehingga kini, sebanyak 13 pasukan sudah mengesahkan penyertaan.
Sebanyak empat acara bakal dipertandingkan iaitu regu, beregu, quadran dan berpasukan dengan kebanyakan penyertaan hadir daripada pasukan yang beraksi di divisyen premier ketika Piala Dunia ISTAF Mei lalu.
Ammar Hakim
Thu Jan 02 2025