Skip to main content

Hoki

Piala Asia Remaja 2023: Young Tigers mara ke separuh akhir

hoki-malaysia.jpg
Skuad hoki remaja negara melebarkan rekod tanpa kalah untuk tiga perlawanan berturut-turut Kumpulan B Piala Asia Remaja 2023 selepas menewaskan Korea Selatan, 3-1 di Kompleks Belia Sultan Qaboos, Salalah, Oman sebentar tadi.

Kemenangan ketiga itu sekali gus menyaksikan skuad The Young Tigers kendalian Muhamad Amin Rahim mengesahkan tempat ke separuh akhir.

Tiga gol pasukan negara dihasilkan menerusi T Perabu minit ke-11 diikuti jaringan Shahmie Irfan Suhaimi (m-54) sebelum ledakan minit ke-57 daripada Mughni Mohamad Kamal melengkapkan kemenangan manakala gol sagu hati Korea dijaringkan Park Geonwoo (m-56).

Sementara itu, Muhamad Amin memuji kesungguhan dan juga usaha keras pemain-pemainnya yang tidak menghiraukan faktor cuaca serta keletihan sebaliknya memberikan aksi yang terbaik.

“Untuk perlawanan hari ini dari segi pukulan sudut penalti, kita boleh lihat penyudahan yang baik apabila kami meraih lima pukulan sudut penalti dan menjaringkan tiga daripadanya di mana ia satu petanda positif buat pasukan.

“Kami juga mempunyai peluang untuk menjaringkan gol padang tetapi penyudahan yang agak kurang baik daripada barisan serangan, namun kami menggunakan kelebihan pukulan sudut penalti dengan sebaiknya untuk mendapatkan gol.

“Perlawanan terakhir bertemu Oman, untuk saya apa yang lebih penting adalah konsentrasi daripada pemain dan mereka perlu turun dengan pemikiran yang betul iaitu untuk mencari kemenangan seterusnya muncul juara peringkat kumpulan,” katanya.

Malaysia akan melengkapkan saingan berdepan Oman dalam aksi terakhir Kumpulan B pada awal pagi Selasa.

PIALA ASIA REMAJA 2023

Kumpulan B

SELASA (30 MEI)

Malaysia lwn Oman, 12.30 tengah malam

kredit: Sinar Harian

Advertisement

Topik Berkaitan

Must Watch Video