HOKI
Piala Alagendra: Roslan wira bantu KLHC juara
Roslan Jamaluddin muncul wira membantu Kuala Lumpur Hockey Club (KLHC) menjulang Piala Tan Sri P. Alagendra selepas menyelamatkan penalti shoot-out pengambil terakhir Terengganu Hockey Team (THT), Faizal Saari, dalam perlawanan akhir di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.
Aksi 60 minit berkesudahan dengan keputusan seri 3-3 dan mengheret perlawanan hingga ke penentuan shoot-out di mana KLHC memusnahkan impian THT untuk mempertahankan kejuaraan selepas menewaskan mereka 4-3.
Pada suku pertama, KLHC mempunyai peluang untuk membuka tirai jaringan apabila dihadiahkan pukulan sudut penalti pertama, namun fliker mereka, Muhammad Razie Abdul Rahim, tidak berjaya menterjemahkannya.
Di sebalik KLHC mencari gol awal, THT mengejutkan mereka menerusi jaringan pukulan sudut penalti Gonzalo Peillat pada minit ke-10.
Seminit kemudian, THT sekali lagi dihadiahkan pukulan sudut penalti dan kali ini giliran Manraj Singh Sarjit Singh memastikan pasukannya itu melebarkan kedudukan 2-0.
Ketinggalan 2-0 pada suku pertama nyata tidak mematahkan semangat anak-anak buah Lim Chiow Chuan untuk bangkit dan menjadikan aksi pada suku kedua milik mereka apabila mengikat kedudukan 2-2.
Bermula dengan jaringan pukulan sudut penalti import Korea Selatan KLHC, Jang Jong-hyun, pada minit ke-16, KLHC terus bangkit mengikat kedudukan pada minit ke-23 menerusi Mohd Syamim Mohd Yusof yang turut menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti.
THT, bagaimanapun, mempunyai peluang terbaik untuk menamatkan separuh masa pertama di hadapan menerusi Peillat, namun pukulan sudut penalti ketiga yang dimiliki THT dinafikan oleh palang gol.
KLHC terus melebarkan kedudukan dalam suku ketiga hasil gol pemain import Australia, Joshua Pollard, menerusi gerakan padang pada minit ke-34.
KLHC dihadiahkan pukulan sudut penalti ketujuh perlawanan, namun Razie Rahim sekali lagi tidak berjaya menterjemahkannya.
Dalam pada itu, kekalutan yang berlaku di kawasan D KLHC pada suku keempat nyata memberikan kelebihan untuk THT apabila dihadiahkan pukulan stroke pada minit ke-53.
Peillat tidak mempunyai masalah untuk mengheret perlawanan ke penentuan penalti apabila perlawanan 60 minit berkesudahan 3-3.
"Ia sememangnya perlawanan yang sangat sengit dan sukar kerana kami ketinggalan dengan dua gol pada awal perlawanan. Tetapi semangat yang ditunjukkan pemain sangat terpuji, mereka tidak cemas, tidak gentar. Mereka teruskan apa yang sepatutnya kami lakukan dan dapat mengejar kedudukan.
"Pada suku keempat, ia sedikit sukar apabila kami tepaksa bermain dengan 10 orang dan kami sentiasa perlu bertahan. Dan sekali lagi saya memuji pemain kerana mereka tidak berputus asa. Roslan sememangnya penjaga gol yang bagus," kata Chiow Chuan.
Keputusan seri yang dicatat dalam 60 minit perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi hadiah kemenangan RM100,000 sementara Peillat yang dinobatkan selaku pemain terbaik kejohanan membawa pulang RM1,000.