Skip to main content

Sukan Lain

Piala Agong: Pengalaman tonggak negara, import Fiji jadi taruhan Terengganu

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

img_0743.jpg
Skuad ragbi Terengganu yakin dapat memberi saingan dalam Piala Agong edisi ke-37 setelah diperkuatkan pemain negara serta tiga tonggak berpengalaman Fiji.

Jurulatihnya, Izaimi Zainuddin, berkata selain pemain naturalisasi, Timochi Vonimoku, turut menyarung jersi Terengganu adalah Glen Cakautini, Iowane Teba dan Josaia Tokarua.

Persiapan kali ini juga lebih baik apabila dapat mengumpul hampir semua pemain dalam sesi latihan yang berpangkalan di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang.

Kesempatan itu digunakan sepenuhnya Terengganu untuk segera mendapatkan rentak terbaik selain membentuk keserasian selepas terkandas dalam suku akhir, tahun lalu.

"Gandingan pemain kebangsaan yang beraksi dalam Kejohanan Asia (ARC) Divisyen Premier, Jun lalu dan import Fiji menjadi aset Terengganu musim ini.

"Tiada masalah untuk membuat percaturan taktikal kerana mereka cukup berpengalaman bukan saja di pentas Piala Agong, malah di peringkat antarabangsa," katanya.

Berada dalam kategori Premier, Terengganu akan bertandang ke Kota Tinggi untuk membuat perhitungan dengan Johor dalam aksi pembukaan, Sabtu ini.

Perlawanan itu akan disusuli pertemuan dengan Kedah di Alor Setar (12 Oktober) sebelum melengkapkan peringkat kumpulan dengan menerima kunjungan Kelantan, seminggu kemudian.

"Apapun, kami tidak mengambil mudah cabaran pasukan lain yang sudah tentu turut membuat persiapan awal yang lebih rapi.

"Perlawanan pertama sudah dianggap tugas berat kerana Johor mengadakan aksi pemanas badan bertemu lawan berkualiti dan mereka mencatat kutipan mata yang tinggi," jelas Izaimi.

Kredit foto: Persatuan Ragbi Negeri Terengganu (PRNT)

Advertisement

Must Watch Video