Menjelang pusingan kesembilan Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2024, Md Syamil Amysar berada di landasan terbaik untuk merangkul gelaran juara awal di Bandar Medini Iskandar, Johor Bahru, hujung minggu ini.

Setakat ini, kejayaan menduduki lima podium serta berhasil memenangi perlumbaan sebanyak dua kali berturut-turut meletakkan pelumba daripada pasukan Petronas Sprinta Yamaha 31 Racing itu di tempat pertama, musim ini.

Perbezaan sejauh 40 mata menjadi pemisah buat dirinya dengan pesaing yang berada di tangga kedua.




"Saya mempunyai kepercayaan pada diri serta tuah dan rezeki saya pada musim ini dengan prestasi yang cemerlang dari awal pusingan sehingga kini.

"Tidak mustahil bagi saya menyandang gelaran juara awal di Litar Medini buat pertama kali di kategori CP125. Litar Medini, bagi saya, masih baharu dan saya juga masih mencari momentum yang baik.

"Cabaran tetap ada terutamanya untuk mendapatkan masa lap yang baik. Semua pesaing agak hebat, lebih-lebih di kategori ini yang terkenal dengan daya agresif para pelumba,” katanya.