CUB PRIX
PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2024: Litar Permotoran Terengganu bakal janjikan saingan paling sengit
Selepas mengharungi separuh kalendar pusingan perlumbaan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2024, nampaknya kepantasan Md Akid Aziz memang benar-benar sukar dihambat walau tidaklah mustahil oleh pencabar-pencabar lain bagi kategori CP150 setakat ini.
Selesai sahaja perlumbaan pusingan kelima yang berlangsung di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (Selatan) semalam, penunggang Petronas Sprinta Yamaha CKJ Racing itu kini masih selesa mendahului takhta teratas pungutan mata keseluruhan dengan mengumpul 105 mata berbanding pencabar terdekatnya yang juga merupakan rakan sepasukan, Ahmad Afif Amran dengan mengumpul 71 mata di tempat kedua.
Manakala Azroy Hakeem Anuar daripada pasukan Honda Estremo Yuzy Racing tidak terlalu jauh untuk mengejar kembali posisi dua tangga teratas dengan kini mengumpul 66 mata di tempat ketiga.
Iklan
Justeru Litar Permotoran Terengganu yang bakal menjadi venue untuk perlumbaan pusingan seterusnya pada 9 hingga 10 Ogos nanti sebenarnya masih besar impak yang akan memperanguhi kedudukan pelumba terutamanya kelompok lima pelumba teratas keseluruhan.
Pastinya ini adalah masa terbaik mereka untuk meraih peluang mengubah kedudukan terkini selain baki perlumbaan yang masih lagi tinggal lima pusingan untuk dihabiskan menjelang hujung tahun ini.
Kedudukan pendahulu pasukan keseluruhan pula menyaksikan jarak mata yang ditampilkan masih lagi tidak jauh untuk dikejar ketika ini.
Malah penguasaan Petronas Sprinta Yamaha CKJ Racing belum lagi selamat sepenuhnya dengan hambatan pasukan Honda Estremo Yuzy Racing seakan enggan memberikan laluan yang lebih selesa dalam setiap pusingan perlumbaan.
Begitu juga dengan pasukan yang menduduki tangga ketiga keseluruhan iaitu Yamaha Tekhne AHM Motorspots yang kini sebenarnya berkongsi 23 mata dengan Honda Estremo Yuzy Racing.
Ia sudah pastinya bakal menzahirkan perancangan taktikal berbeza ketiga-tiga pasukan teratas ini dalam perlumbaan di Terengganu nanti dalam memastikan kedudukan masing-masing.
Must-Watch Video