Dalam kategori CP125, pelumba Petronan Sprinta Yamaha 31 Racing, Md Adam Haikal Jahar, muncul pemenang dalam perlumbaan pusingan keempat Kejuaraan Petronas MAM Malaysian Cub Prix yang berlangsung di Stadium Mini Teluk Intan sekali gus menyaksikan pasukannya mencatat kemenangan pertama dalam kategori CP125.

Sesi 'Shoot Out' yang berlangsung pada waktu pagi tadi telah menempatkan pelumba Honda KC Racing, Md Irfan Haykhal Amidi, di petak grid pertama selepas mencatatkan masa terpantas pada 49:503s.

Pelumba Yamaha Tekhne AHM Motor Sports, Arash Tsunami Kamarudin, yang mencatat 49:668s bermula di petak grid kedua, dan Md Syamil Amsyar Md Iffende dari Petronas Sprinta Yamaha 31 Racing di petak ketiga pada 49:999s.

Ketika pusingan terakhir, Adam Haikal berjaya melepasi pelumba lain di P1 pada selekoh keenam dan terus memecut ke garisan penamat pada 12'45:813s.

"Saya tidak sangka yang saya akan dapat podium," ujarnya.

"Sebenarnya minggu ini saya berasa agak susah untuk menaiki podium jadi saya hanya mensasarkan untuk mengekalkan kelajuan dan cuba untuk pertahankan kedudukan saya.

"Saya berlumba dengan sehabis baik dan akhirnya berjaya memenangi perlumbaan hari ini," katanya.