PERMOTORAN

Petronas MAM Cub Prix: Bekas pelumba tampil jernihkan keadaan, minta maaf kepada Brothers 7 Tech Racing

Shaiful Shamsudin 02/12/2024 | 10:29 MYT
Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya, itulah yang terjadi dalam kes melibatkan pihak Brothers 7 Tech Racing yang difitnah oleh bekas pelumbanya berikutan masalah dalaman pasukan.
Ia berikutan laporan Nadi Arena berkenaan pemilik pasukan, Narizman Madin, yang bertindak merehatkan Aiman Hafis dalam dua pusingan terakhir kategori Wira KBS, Kejuaraan Petronas MAM Cub Prix.
Namun, setelah perbincangan berlaku di antara kedua-dua belah pihak, individu tersebut tampil untuk membuat permohonan maaf terbuka demi menenangkan keadaan.
"Saya minta maaf atas kenyataan di Facebook Astro Arena berkenaan hinaan dan cacian yang boleh menjatuhkan reputasi Narizman selaku pengurus Brothers 7 Tech Racing.
"Sekiranya perkara ini boleh buat reputasi beliau tergugat," kata bapa saudara kepada Aiman.
Aiman sendiri turut tampil bersemuka dengan bekas majikannya itu: "Saya ingin minta maaf secara terbuka kepada Brothers 7 Tech Racing atas kelakuan tidak hadir dalam dua pusingan akhir dan (berhubung) kenyataan yang dikeluarkan yang boleh menjatuhkan imej pasukan."
Sementara itu, Narizman menerima permohonan maaf itu secara terbuka dan pada masa yang sama berharap perkara begini tidak berlaku lagi pada masa hadapan.
"Saya menerima permohonan maaf daripada pakcik Aiman, Firdaus, dan bekas pelumba saya atas segala kenyataan terhadap saya secara fitnah.
"Kontrak Aiman bersama kami hingga 2026. Tetapi dengan keinginannya, saya sebagai ketua pasukan Brothers 7 Tech Racing sedia menamatkan kontraknya hingga 2024.
"Saya harap ia menjadi pengajaran kepada pelumba baru dan pelumba semasa supaya lebih berdisiplin dan lebih menjaga tutur kata kerana semua orang dalam pasukan bekerja keras untuk anda daripada segi wang ringgit dan tenaga.
"Kalau tidak mahu bersama pasukan, janganlah buat cerita atau fitnah," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.
#Cub Prix #Petronas MAM Cub Prix
;