Pakar pecut Terengganu Cycling Team (TSG), Harrif Saleh, mengesahkan kini sudah semakin pulih daripada kecederaan dialami dan perjuangan dalam dalam Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 bakal diteruskan.
15 hari menjelang saingan, persiapan terakhir terus dilaksanakan pelumba kelahiran Terengganu itu menerusi penyertaan Jelajah Huangshan di China, dari 19 hingga 21 September depan.
"Selepas dua bulan tidak terlibat dengan kejohanan -- kerana diserang virus influenza yang ibarat set semula tubuh -- jadi saya kesuntukan masa untuk mencapai prestasi terbaik.
"Tetapi saya dapat mencapai prestasi sebenar segera. Ketika dalam Jelajah Shanghai di China, saya mendapat tempat kedua gelaran Asia," katanya di Nadi Weekend sebentar tadi.
Harrif turut mengulas mengenai keyakinan dirinya terhadap prestasi pasukan, khususnya melibatkan gandingan dengan pelumba pecut baru TSG, Wan Abdul Rahman Hamdan.
Baginya, semangat juang tinggi dipamerkan pelumba muda itu sewaktu latihan dan dia mampu menjadi sandaran untuk mengurangkan tekanan daripada pelumba lain.
"Dengan kehadiran saya, kami ada dua pelumba pecut. Ia satu rangsangan kepada pasukan.
"Dia baru memenangi perlumbaan di Turki dan China yang disertai ramai bekas pelumba (handalan).
"(Kehadiran mereka) menjadikan ia satu perlumbaan yang berkualiti," katanya.