BERBASIKAL
Petronas LTdL 2024: Tidak boleh terlalu gembira, mahu jimatkan tenaga -- Aiman Rosli
Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Rosli, memastikan saingan peringkat pertama Le Tour de Langkawi dengan meraih jersi putih.
Dalam perlumbaan mengelilingi Pulau Langkawi itu sejauh 96.5 kilometer menyaksikan Aiman menamatkan perlumbaan dengan catatan masa dua jam empat minit dan 33 saat.
Berbaki tujuh lagi peringkat, Aiman menekankan bahawa dia tidak mahu mendabik dada atas kejayaan pertamanya itu ekoran perjalanan LTdL itu masih panjang.
"Saya tidak terlalu gembira kerana ini baru hari pertama dan perjalanan masih jauh, namun saya teruja dengan pencapaian ini sambil perlu memikirkan strategi lain pada peringkat seterusnya termasuk harus mencari jalan untuk menjimatkan tenaga," katanya kepada Nadi Weekend.
Pelumba Malaysia Pro Cycling (MPC), Izzat Hilmi, merekodkan pencapaian yang membanggakan apabila muncul sebagai pemain terbaik Malaysia dan Asia ketika tamat pusingan satu selepas menempatkan diri di kedudukan ketujuh.
"Kami ada mencuba untuk mengikuti breakway tetapi tiada rezeki.
"Namun pelan kedua sedikit berhasil apabila kumpulan pendaki kami dapat menjimatkan tenaga supaya dapat membuat sehabis baik pada peringkat ketiga di laluan Cameron Highlands.
"Cuaca yang tidak menentu juga menjadi cabaran buat kami sepasukan tetapi Alhamdulillah semuanya selamat," kata Izzat.