BERBASIKAL

Petronas LTdL 2024: Pecutan akhir pacu Manuele Tarozzi di peringkat keenam

Shaiful Shamsudin 04/10/2024 | 04:09 MYT
Henjutan deras menuju 500 meter terakhir memastikan Manuele Tarozzi ditabalkan sebagai juara peringkat kenam Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024, sebentar tadi.
Pelumba pasukan VF Group - Bardiani CSF itu yang turut menyerlah dalam pecutan kedua laluan yang membabitkan 103 penunggang dari Batu Pahat ke Kulai itu berhasil memintas Stefan De Bod di penghujung peringkat saingan hari ini sebelum dua lagi perlumbaan diteruskan di Borneo.
Peringkat keenam hari ini merupakan pentas bersejarah buat Tarozzi apabila enghadiahkan kejuaraan peringkat pertama buat pasukannya selepas kali terakhir, Bardiani CSF, melakukannya pada 2018 menerusi Andrea Guardini.
Pada awal perlumbaan, pelumba Itali itu kekal tenang dalam kelompok peloton sebelum melakukan breakway menuju ke zon pecutan kedua di Rengit, dan mengunggulinya diikuti pelumba Corratec-Vini Fantini, Valentin Darbellay, di kedudukan kedua.
Tarozzi juga meraih kedudukan pertama di zon pecutan terakhir di Bukit Batu sebelum mengekalkan momentum bersama dua lagi pelumba dalam kelompok hadapan menuju ke garisan penamat.
Dengan berbaki 3km menuju ke garisan penamat, jarak peloton hanya dipisahkan dengan 25 saat sahaja dengan kelompok pendahulu.
Namun, kayuhan bertenaga Tarozzi meletakkan dirinya sebagai juara peringkat terakhir LTdL di semenanjung.
Arvid de Kleijn daripada pasukan Tudor Pro Cycling pula merampas jersi raja pecut, namun dia mengakui kecewa apabila sekadar menempatkan diri di kedudukan ketiga.
Sementara itu, tiada perubahan buat kedudukan jersi dengan jersi hijau pendahulu keseluruhan masih dipegang bintang DSM Firmenich, Max Poole, manakala jersi raja bukit dipegang Mario Aparicio daripada pasukan Burgos BH, manakala Manabu Ishibashi yang mewakili JCL Ukyo masih lagi mengekalkan dominasi jersi putih terbaik Asia.
#LTdL #Petronas Le Tour de Langkawi
;