Petronas Grand Prix Malaysia 2024 (MotoGP) bakal diadakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bermula 1 hingga 3 November 2024 bagi menyambut ulang tahun ulang tahun ke-25 litar berprestij itu.
"Kami sangat teruja untuk meraikan kejayaan terhadap penganjuran luar biasa ini sejak 25 tahun lalu SIC membuka tirainya pada 1999," kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif.
Selaras dengan inisiatif Kerajaan Malaysia Madani untuk menjadikan sukan lebih mudah diakses, SIC membuka semula jualan Tiket Rahmah yang boleh didapati pada harga RM49.90 selain promosi istimewa diskaun 25 peratus disediakan sehingga 20 September 2024 sempena sambutan Hari Merdeka.
"Keupayaan SIC menganjurkan MotoGP Malaysia bertaraf dunia menandakan komitmen kerajaan menghargai komuniti sukan permotoran selain mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan pelancongan dan memperkasakan belia kita dengan laluan profesional melalui program seperti Rakan Litar. Ini mencerminkan dedikasi kami untuk memupuk kecemerlangan dan inovasi dalam sukan dan menyokong bakat baru muncul seperti Hakim Danish dan Qabil Irfan dalam usaha mereka untuk menjadi juara dunia,” kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli.
Di sebalik menonton perlumbaan yang menarik, peminat boleh menikmati pelbagai aktiviti di luar trek yang menggembirakan seperti 'Public Pit Lane Walk dan Riders’ sesi menandatangan bersama pelumba dan lain-lain.
Pengalaman menjelajah trek pada waktu malam bakal kembali mengikut permintaan ramai pada 1 November 2024. Sementara itu, peminat boleh menerokai gabungan pelbagai aktiviti membeli-belah, hiburan, interaktif dan mesra keluarga di Karnival Mega MotoGP™ yang dinanti-nantikan, menampilkan lebih 100 jenama terkenal.
Untuk mendapatkan tiket anda, sila layari www.sepangcircuit.com.
Najmi Iman
Tue Aug 20 2024