SUKAN LAIN

Perubahan saat akhir tidak beri tekanan kepada penganjur LTdL

Ammar Hakim 13/02/2017 | 03:30 MYT

Ketua Pegawai Eksekutif, Le Tour de Langkawi (LTdL), Emir Abdul Jalal, tidak menganggap perubahan saat akhir senarai nama pelumba satu tekanan jika setiap pasukan memberi jaminan mampu membentuk skuad terbaik menghadapi kejohanan bermula 22 Februari ini.

Setiap pasukan perlu menghantar senarai nama pelumba yang bakal bersaing pada tarikh akhir 21 Februari ini.
Bagi Emir, tiada masalah untuk menerima nama daripada setiap pasukan pada saat-saat akhir, apa yang penting adalah mereka akan menyenaraikan pelumba terbaik, apatah lagi kejohanan bakal berlangsung tanpa pelumba terbaik Asia, Muhammad Adiq Husainie Othman.
Pihaknya enggan terburu-buru selagi belum tiba tarikh akhir kerana mahu memberikan masa terlebih dahulu kepada pasukan dalam memilih pelumba yang benar-benar berpotensi kali ini.
"Kami masih belum mendapat senarai akhir enam pelumba untuk bersaing dalam LTdL kali ini. Mereka masih lagi mengatur strategi dan memilih calon-calon yang terbaik," ujar Emir.
Selepas mendapat suntikan dana berjumlah RM1.5 juta daripada syarikat Maxxima tempoh hari, LTdL turut memperoleh tajaan kumpulan BMW Malaysia pada Isnin apabila secara rasmi menerima tajaan merangkumi 200 kenderaan BMW secara keseluruhan.
"Penganjuran LTdL yang telah mencecah 21 tahun dilihat sebagai satu pencapaian yang boleh dibanggakan. Kami berharap LTdL akan terus dianjurkan pada tahun-tahun akan datang."

;