Skip to main content

Gusti

Pertembungan lima penjuru untuk rebut Kejuaraan Universal; WWE lantik pengadil wanita?

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

5-contenders_1.jpg
Susulan kecederaan mengejut yang melanda calon pencabar utama Kejuaraan Universal WWE iaitu Braun Strowman minggu lalu, pengurusan WWE terpaksa bekerja lebih masa untuk memikirkan calon pengganti untuk mengisi tempat Strowman seterusnya bergelar pencabar utama kepada kejuaraan yang kini disandang Brock Lesnar tersebut.

Di segmen pembukaan Raw semalam, Pengurus Am Raw Kurt Angle telah muncul dan membuat pengumuman mengejut tentang status pencabar utama yang telah kosong kini. Menurut Kurt, tulang siku Braun Strowman telah patah berserakan dan bintang perkasa itu memerlukan sekurang-kurangnya enam bulan untuk pulih.

Oleh yang demikian, satu perlawanan telah diatur bagi mencari pengganti Strowman. Ia adalah perlawanan lima penjuru melibatkan lima bintang utama jenama Raw iaitu Seth Rollins, Finn Balor, Bray Wyatt, Samoa Joe dan Roman Reigns. Perlawanan ini akan mengambil tempat di acara WWE Extreme Rules pada 5 Jun depan dan menjadi perlawanan kemuncak untuk acara PPV eksklusif Raw tersebut.



Susulan pengumuman tersebut, Roman Reigns lantas keluar (dan disambut dengan sorakan boo oleh peminat seperti biasa). Ujar Roman, Kurt tidak perlu bersusah payah mengatur perlawanan lima penjuru tersebut kerana beliau layak untuk menjadi pengganti Strowman. Tambah Roman, wilayah Raw kini adalah di bawah seliaannya kerana beliau telah berjaya membenam Undertaker di Wrestlemania bulan lalu. Roman turut berkata yang beliaulah telah menghantar Strowman terperosok ke dalam ambulans hingga cedera dan mendabik dada mendakwa hanya dirinya saja yang mampu untuk menewaskan Brock Lesnar.

Muncul pula Finn Balor selepas itu. Ujar Finn, beliau adalah Juara Universal pertama dalam sejarah dan tidak pernah tewas sebagai juara. Sejak terpaksa melepaskan kejuaraan tersebut tahun lalu, beliau masih belum menuntut klausa perlawanan semula. Jadi secara teknikalnya, beliaulah yang paling layak dan bintang lain perlu beratur di belakangnya.

Seperti dijangka, Seth Rollins, Bray Wyatt dan Samoa Joe juga muncul mendakwa diri masing-masing lebih layak. Kesudahannya, kesemua mereka bergelut sesama sendiri sehingga memaksa Kurt Angle menghentikan pergelutan itu.

Pemenang perlawanan lima penjuru ini kelak akan bertemu dengan Brock Lesnar di acara Great Balls of Fire pada Julai bagi merebut Kejuaraan Universal yang dimenangi The Beast di acara Wrestlemania bulan lalu. Namun demikian, Strowman tetap tidak dikesampingkan.

Menurut Dave Meltzer daripada Wrestling Observer, Strowman yang baru sahaja selesai menjalani pembedahan sikunya baru-baru ini dijangka akan dapat kembali lebih awal. Walaupun laporan awal menyebut yang beliau perlu berehat selama enam bulan, namun dengan latihan intensif dan semangat kecekalan dalam jiwa anak muda ini, memungkinkan beliau untuk kembali ketika acara Summerslam pada Ogos depan.
 
 

Sometimes life throws you unexpected obstacles. Things will get in the way of your dreams they always do. How you handle your set backs is what makes the difference. I could sit around and think what could I have done to avoid this what did I do to deserve this. Y? Y? Y? I say to hell with that. There's no time for excuses and pity party's!!!! Every day Is a day I get the opportunity to grow stronger everyday I push myself further cause I refuse to let this slow me down. Nothing can stop me from being the best. I'll blow through this like I have every set back life has ever throw at me and continue to own my destiny!!!! This is my life and I tell what and when I'm gonna do things. #nothingcanstopme #unstoppable #braunstrowman #monsteramongmen

A post shared by Adam Scherr (@adamscherr99) on



Jika benarlah ramalan ini, bermakna calon pencabar utama yang bakal bertemu Lesnar ini mungkin akan kempunan untuk bergelar juara kerana WWE memang telah lama merancang untuk mempertemukan Lesnar dengan Strowman. Tambah pula, nama Lesnar adalah begitu sinonim dengan acara Summerslam yang merupakan acara tahunan kedua terbesar WWE selepas Wrestlemania.

Bercakap tentang Raw, bintang veteran Goldust telah mengejutkan semua pihak apabila memilih untuk mengkhianati rakan regunya, R Truth sebelum perlawanan mereka menentang pasangan Luke Gallows dan Karl Anderson mengambil tempat. Secara tak langsung, ia memperlihatkan transisi Goldust kembali menjadi penggusti berhaluan kiri atau 'geng jahat' setelah bertahun-tahun membawa watak baik dan riang ria.
 

Alasan mengapa beliau membelasah R Truth dikatakan berpunca daripada kekalahan pasukan mereka kepada Cesaro dan Sheamus minggu lalu. Mungkin sudah jelak memainkan peranan komedi dan bahan ketawa penonton, langkah radikal Goldust ini mungkin kena pada masanya.

Nama Goldust adalah amat digeruni semasa awal-awal kemunculannya di WWE lewat tahun 1995. Amat kontra dengan karakternya sebagai The Naturals Dustin Rhodes semasa di WCW sebelum itu, Goldust muncul dengan karakter penuh kontroversi. Gayanya yang seolah-olah 'mak nyah' yang hampir pencen begitu berkesan sehingga dikatakan ramai penggusti enggan terlibat dan bergusti dengannya di dalam gelanggang.



Dengan usia yang kini menginjak 48 tahun, Goldust atau nama sebenarnya Dustin Patrick Runnels ini semakin hampir ke fasa persaraan. Sebagai anak sulung kepada mendiang American Dream Dusty Rhodes dan abang kepada Cody Rhodes, menjadi tanggungjawab Goldust untuk mencipta impak kepada dunia gusti sebelum mengucapkan selamat tinggal dan bersara dengan aman.

WWE lantik pengadil wanita?

Squaredciclesirens.com baru-baru ini melaporkan yang WWE telah melantik seorang penggusti wanita sirkit bebas, Kennadi Brink sebagai pengadil di syarikat mereka.

Brink dikhabarkan telah memulakan khidmatnya sebagai pengadil di beberapa acara NXT pada Mac lalu semasa sesi jelajah jenama tersebut di Ocala dan Jacksonville, Florida. Para pegawai WWE juga dikatakan telah yakin dengan kemampuannya dan kontrak tetap sebagai pengadil akan ditandatangani sedikit masa lagi.



Brink, 25 telah mula bergusti sejak musim panas pada tahun 2010 di bawah latihan akademi gusti profesional kendalian penggusti veteran, Duane Gill @ Gillberg. Sejak itu, beliau telah bergusti di pelbagai organisasi seperti MCW, Shimmer, SHINE dan tidak ketinggalan, Ring Of Honor (ROH).

Perlantikan ini membayangkan yang Kejohanan Gusti Wanita WWE seperti yang diwar-warkan sebelum ini akan menjadi kenyataan. Siri kejohanan yang mirip kepada Kejohanan Cruiserweight Classic tahun lalu ini dilaporkan bakal bersiaran bermula Julai depan dan akan menampilkan 32 penggusti wanita hebat seluruh dunia.



Pastinya pengadil wanita amat cocok dengan tugasan mengadili kejohanan ini. Untuk rekod, TNA Wrestling juga pernah menampilkan pengadil wanita untuk diviyen Knockout mereka sebelum ini iaitu Taryn Terrel yang tidak lama kemudian turut bergelar penggusti.

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro & Astro On-the-Go.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 19,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.
 

Advertisement

Must Watch Video