SUKAN LAIN
Permukaan ais di Empire City mampu cetus masalah -- De Vin
Atlit luncur ais kebangsaan, Wong De Vin, mendakwa masalah permukaan ais di gelanggang di Empire City, Damansara menyukarkannya untuk mempamerkan aksi terbaik dalam Kejohanan Pra Sukan SEA walaupun berjaya menjuarai acara 1,000 meter short track.
Kejohanan itu terpaksa bermula lewat sehari berikutan masalah permukaan ais sebelum berjaya diatasi dengan bantuan pegawai Kesatuan Luncur Ais Antarabangsa (ISU).
Dalam aksi final 1,000m lelaki, Wong diberi tentangan sengit oleh peluncur pilihan, Mohamad Hazim Syahmi Shah, sebelum melintasi garisan penamat selaku juara dengan catatan 1 minit 55.510 saat.
Iklan
"Keadaan ini tidak sesuai untuk Sukan SEA.
"Saya tidak rasa ia satu masalah besar tetapi tetap akan memberi kesan," ujar De Vin.
Dalam saingan acara wanita, peluncur berpengalaman, Anja Chong, menggunakan kelebihan berlatih di luar negara untuk meraih pingat emas walaupun bernasib baik berjaya mengelak daripada mengalami kemalangan selepas diasak Ashley Chin pada hujung perlumbaan.
"Saya rasa kami agak bertuah kerana memiliki kemudahan baru ini," kata Anja.
Sementara itu, Presiden Persatuan Luncur Ais Malaysia (ISAM), Mohamad Fadzli Johan, menegaskan sebarang kelemahan akan diperbaiki selepas ini.
"Alhamdulillah tiada perkara yang besar berlaku dan saya yakin apa-apa kekurangan akan diperbaiki," katanya.
Must-Watch Video