SUKAN-LAIN
Perisic enggan bincang tentang masa depannya
Pemain sayap Inter, Ivan Perisic tidak akan membincangkan masa depannya selama 'beberapa minggu' ketika Nerazzurri bersiap sedia untuk menentang Real Madrid dalam Liga Juara-Juara (UCL) awal pagi esok.
Pemain antarabangsa Croatia itu hanya di bawah kontrak sehingga akhir musim dan telah dilaporkan pengendali Tottenham, Antonio Conte, berminat mendapatkan khidmat pemain berusia 32 tahun itu.
Perisic, yang telah menjaringkan tiga gol dan memberikan dua bantuan dalam 19 penampilan musim ini, berkata dia hanya berminat dengan usaha juara Serie A, Inter untuk memenangi lebih banyak trofi buat masa ini.
"Dua tahun lepas adalah sesuatu yang indah untuk saya, tetapi ini adalah masa lalu," katanya.
"Saya menginginkan kejuaraan, kami mahu menang lagi tahun ini. Saya tidak suka bercakap tentang masa depan, saya fokus buat masa ini dan kami perlu memberikan segala yang kami ada setiap hari."
Nerazzurri dijamin mendapat tempat dalam pusingan 16 UCL, tetapi Perisic mengintai kemenangan di Santiago Bernabeu untuk memenangi Kumpulan D.
"Saya hanya fokus untuk aksi bertemu Real, begitu juga rakan sepasukan saya. Kami mahu bermain dengan baik dan menamatkan saingan di tempat pertama," tambahnya.
"Kami mempunyai masa dan dalam beberapa minggu kami akan bercakap [mengenai masa depannya]. Mari lihat apa yang boleh berlaku."
Real telah memenangi setiap tiga perlawanan terakhir mereka menentang Inter dalam Liga Juara-Juara, manakala wakil Itali itu hanya mempunyai satu kemenangan dalam 12 pertemuan sebelum ini bertemu pasukan Sepanyol.