SEPAK TAKRAW
Perak juara baru regu Piala Tun Ali
Perak bergelar juara baru Kejohanan Sepaktakraw Piala Tun Ali apabila mengatasi debaran awal permainan untuk bangkit memadam impian tinggi Negeri Sembilan, sebentar tadi.
Perak menurunkan pemain import, Jakkrit Thinbangnon serta dua atlet negara, Noraizat Nordin serta Aidil Aiman dalam aksi di Bukit Serindit, Melaka itu tetapi ketinggalan 7-11 terlebih dahulu sebelum menyamakan kedudukan 15-15.
Namun, ia masih belum mampu menyekatkan Negeri Sembilan untuk mengakhiri set pertama dengan kemenangan tipis 25-24.
Permainan agresif memberi ruang buat Perak menyamakan kedudukan apabila jauh meninggalkan permainan 18-7 untuk mengheret permainan ke set penentuan menerusi kemenangan mudah 21-7.
Negeri sembilan enggan berlapang dada dengan peningkatan prestasi ditampilkan lawan apabila melancarkan asakan untuk mendahului 7-4 sebelum kedudukan menjadi 12-12.
Selepas itu, semuanya seperti tidak menjadi buat Negeri Sembilan untuk Perak terus mengutip mata demi mata, sekali gus menoktahkan kemenangan dengan mata akhir 21-14.