SUKAN LAIN

Pengguguran, pengurangan elaun lumrah buat atlet, kata Shalin

Muzaffar Musa 12/01/2022 | 11:33 MYT
Bekas ratu boling tenpin negara, Shalin Zulkifli, menganggap pengguguran 144 atlet daripada program latihan kebangsaan dan pengurangan elaun sebagai satu lumrah yang perlu dihadapi setiap individu bergelar atlet.
Juara dunia dua kali itu menyeru agar barisan atlet yang digugurkan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk bangkit mempamerkan prestasi sebenar dan kembali merebut tempat dalam kem kebangsaan.
Ketika ramai tidak bersetuju dengan tindakan MSN itu, Shalin beranggapan ia merupakan satu tindakan yang terpaksa diambil berdasarkan situasi semasa berikutan pandemik COVID-19.
Tambah Shalin, penting bagi setiap atlet untuk bersiap sedia dengan Pelan B bagi meneruskan kelangsungan hidup selepas tidak bergelar atlet.
Menerusi satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Fadhirul Shuhaimi, pemenang lima kali Angerah Olahragawati Kebangsaan itu berkata: "Memang sedih tetapi saya rasa, kita juga tidak boleh lari daripada kenyataan.
"Apabila menjadi seorang atlet kebangsaan, memang akan ada naik turun.
"Semasa saya bergelar atlet, apabila tidak mencapai KPI (indeks prestasi utama), gaji saya juga dipotong.
"Jadi, apabila anda menjadi sorang atlet yang berprestasi tinggi, sama ada anda suka atau tidak, memang akan ada kemungkinan untuk ia berlaku dan anda perlu menerimanya.
"Kerana setiap apa yang kita lakukan pasti ada kesannya.
"Seperti yang selalu saya katakan, anda perlu fokus untuk bangkit dan kembali menyertai pasukan (kebangsaan).
"Anda perlu membuktikannya dengan prestasi dalam kejohanan yang akan datang," katanya.
Dalam pada itu, Shalin turut memuji tindakan MSN memberikan kebenaran buat atlet yang telah digugurkan untuk terus menggunakan fasiliti latihan di Bukit Jalil.
"Walaupun elaun sudah tidak banyak dan semeriah dulu, anda sekurang-kurangnya masih dapat menggunakan fasiliti.
"Untuk beberapa jenis sukar, perkara ini memang sesuatu yang penting.
"Jadi, saya fikir ia satu langkah yang baik daripada pihak MSN," katanya lagi.
#Majlis Sukan Negara #Shalin Zulkifli #boling tenpin
;