TERJUN

Pengganti Bryan Nickson Lomas harus rangka program terbaik untuk atlet

Najmi Iman 01/02/2025 | 10:48 MYT
Berita mengenai Bryan Nickson Lomas meninggalkan posisi selaku pengarah teknikal Persekutuan Renang Malaysia (MAS) mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Setiausaha Agung MAS, Andy Low, kini dalam misi mencari pengganti apabila mengesahkan seramai tiga calon berada dalam radar bagi mengisi kekosongan tersebut iaitu Mohd Azheem Bahari, Wendy Ng dan Yeoh Ken Nee.
Begitupun, Ken Nee dilihat antara calon paling tepat untuk menjawat kerusi tersebut bersandarkan pengalaman yang dimiliki menepati misi mengembalikan semula kegemilangan kem terjun negara di rantau Asia Tenggara dan dunia.
Andy turut mengesahkan Bryan Nickson Lomas akan berkelana ke sebuah negara sekitar Asia dalam masa terdekat, namun masih tiada pengumuman rasmi dibuat oleh mana-mana pihak.
"Sebanyak 80 peratus sudah pasti. Kami akan mengumumkan pelantikan baru selepas selesai segala dokumen.
"Kriteria paling utama sudah semestinya mempunyai visi, pengalaman di peringkat tertinggi seperti bergelar Olimpian dan mempunyai lesen kejurulatihan yang ditetapkan.
"Sebagai pengarah teknikal, individu ini harus merangka program secara menyeluruh daripada segi latihan atau pertandingan untuk memajukan industri terjun negara.
"Individu ini sudah pasti memiliki idea tersendiri untuk mendapatkan keputusan terbaik pada masa akan datang," katanya di Nadi Weekend.
#Terjun #Persekutuan Renang Malaysia #MAS #Andy Low
;