Kejohanan Dunia M6 (M6) sedang bersedia untuk jadi #GreaterThanEver! MOONTON Games, pembangun dan penerbit Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), pada hari ini telah menjalankan undian pertandingan sekaligus mengumumkan kerjasama dengan kerajaan Malaysia, aktiviti karnival, dan persembahan orkestra oleh Orkestra Kuala Lumpur.
Diadakan dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Esports Integrated (ESI), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), dan Biro Konvensyen & Pameran Malaysia (MyCEB), acara "M6 Unveiling: Greater Than Ever" telah diadakan secara fizikal di Spacerubix, dan disiarkan secara langsung kepada jutaan penonton.
Siri M adalah pengiktirafan paling berprestij dalam esukan mudah alih dan salah satu acara esukan paling popular di dunia. M6 adalah edisi keenam Siri M dan akan diadakan pada akhir bulan ini di Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia, di mana 23 pasukan MLBB terbaik dunia akan bertanding untuk meraih kejayaan tertinggi dan bahagian terbesar daripada hadiah keseluruhan USD 1 juta.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Malaysia, YB Adam Adli telah menyampaikan ucapan di acara tersebut memuji impak esukan.
Beliau berkata, "Esukan telah berkembang dengan pesat, baik di peringkat global mahupun di sini di Malaysia. Industri permainan kita telah mencatat pertumbuhan purata sebanyak 8.9% setiap tahun sejak 2020, dengan lebih daripada 50% rakyat Malaysia kini terlibat secara aktif sebagai pemain. Ekosistem yang kukuh ini menawarkan pelbagai laluan kerjaya, daripada atlet profesional kepada pemilik pasukan, pencipta kandungan, dan penganjur acara."
Beliau turut menyebut Soloz sebagai inspirasi bagi mereka yang ingin menceburi ekosistem esukan, "Contoh terbaik adalah Soloz – pernah menjadi atlet MLBB negara, kini merupakan pencipta kandungan di Malaysia yang paling banyak ditonton dan juga pemilik bersama Team Vamos, yang akan mewakili Malaysia dengan bangga di M6."
Timbalan Menteri Belia dan Sukan juga menyokong MOONTON Games dan M6, menegaskan bahawa "Kerajaan komited untuk memberdayakan syarikat esukan, memastikan bahawa rakyat Malaysia dapat sepenuhnya memanfaatkan peluang yang ditawarkan oleh industri dinamik ini."
Kerajaan Malaysia baru-baru ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM20 juta dalam Belanjawan Madani 2025 untuk meningkatkan ekosistem esukan. Keputusan ini diambil selepas kejayaan Selangor Red Giants di Mid-Season Cup 2024 di Arab Saudi, di mana mereka meraih gelaran MLBB antarabangsa utama pertama Malaysia. Kerajaan menyedari perlunya akses kepada sumber-sumber ini untuk belia bersaing di peringkat antarabangsa dan komited untuk memastikan Malaysia terus melahirkan bakat bertaraf dunia dalam esukan.
Selangor Red Giants dan Team Vamos akan mewakili Malaysia di M6 di hadapan peminat tempatan setelah menduduki tempat pertama dan kedua masing-masing di Liga Profesional MLBB (MPL) Malaysia Musim 14, yang tamat pada 3 November. Selangor Red Giants menjadi juara bertahan berturut-turut pertama liga setelah kejayaan mereka pada Musim 13 dan 14.
Undian M6 telah dijalankan secara langsung semasa di acara "M6 Unveiling: Greater Than Ever", di mana lapan pasukan dari Peringkat Wild Card (berlangsung dari 21 hingga 24 November) dan 15 pasukan dari Peringkat Utama (berlangsung dari 28 November hingga 15 Disember) mengetahui perlawanan masing-masing.
Peminat Malaysia akan menjangkakan bahawa wakil negara akan meraih kemenangan di pusingan pertama Swiss Stage, memandangkan mereka telah mendapat undian yang tinggi. Selangor Red Giants akan bertanding menentang S2G Esports, yang layak menakluki tempat pertama di Kejohanan MTC Turkiye Musim 4. Team Vamos pula akan berdepan dengan Twisted Minds, yang memenangi MPL MENA Musim 6.
Peminat juga teruja untuk melihat juara MPL Indonesia Musim 14, Team Liquid ID, menentang juara MPL Filipina Musim 14, Fnatic ONIC PH pada pusingan pertama Swiss Stage. Kedua-dua pasukan adalah pilihan kejohanan; dan pertembungan ini bakal memberikan pasukan mereka momentum awal.
Ketahui tentang format kejohanan M6, termasuk format Swiss yang baru dalam penjelasan ini: M6 World Championship New Format!
MOONTON Games turut mengumumkan bahawa Perlawanan Akhir akan dibuka dengan persembahan orkestra oleh Orkestra Kuala Lumpur buat julung-julung kalinya dalam esukan MLBB, dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
Selain menjadi pentas bakat MLBB terbaik dunia, M6 juga akan mempunyai karnival di Axiata Arena dari 13 hingga 15 Disember, menawarkan pelbagai gerai dan aktiviti mesra keluarga. Masuk ke karnival adalah percuma sepenuhnya serta butiran lanjut mengenai pendaftaran akan diumumkan pada tarikh akan datang.
Peminat juga boleh menantikan acara "M6LAYSIA MEMBARA" di Bukit Bintang dari 29 November hingga 1 Disember, di mana personaliti terkenal Malaysia – seperti Soloz, Alieff Irfan, Hairul Azreen Idris, dan Zizan Razak – akan menyerahkan obor menyala ke pedestal di Lot 10, mirip dengan Sukan Olimpik. Ini melambangkan kemuncak kempen #M6laysiakuGemilang yang mengajak rakyat Malaysia untuk memberi sokongan kepada negeri masing-masing, yang masing-masing diwakili oleh seorang personaliti tempatan.
Tambah Ketua Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan Moonton Games, Fikri Rizal Mahruddin: "Kami menyasarkan pasukan tempatan muncul juara buat julung kalinya selepas lima edisi."
Ammar Hakim
Fri Nov 08 2024