SUKAN-LAIN
Penganalisis sukan: Pemacu kejayaan Malaysia di pentas antarabangsa
Keperluan penganalisis sukan dalam memastikan kejayaan sukan di Malaysia adalah amat penting untuk membantu meningkatkan prestasi atlet dan daya saing sukan negara. Penganalisis sukan berperanan dalam memahami prestasi atlet dengan mengumpul dan menganalisis data berkaitan kekuatan serta kelemahan mereka. Melalui pemantauan prestasi dan penilaian kecederaan, jurulatih dapat menyusun strategi latihan yang lebih efektif, seterusnya memastikan pembangunan atlet berlaku secara optimum.
Penganalisis sukan juga membantu meningkatkan strategi dan taktik pasukan melalui analisis video dan simulasi taktikal. Mereka menganalisis pola permainan lawan, kenalpasti kelemahan pihak lawan dan merangka kaedah yang lebih efektif. Pendekatan ini membolehkan pasukan bersedia menghadapi cabaran perlawanan dengan lebih sistematik, terancang dan menggunakan aplikasi data yang berfokus. Pusat Inovasi dan Teknologi Sukan di UTM antara pusat penyelidikan sukan terawal di Malaysia yang memperkasakan teknologi sukan dan data sukan.
Penggunaan teknologi dalam analisis sukan turut memperkukuhkan usaha ini. Peralatan canggih seperti GPS, sensor biomekanik, dan kecerdasan buatan (AI) membantu meramal prestasi serta menyediakan data yang lebih tepat untuk merangka dan merancang pelan strategik dalam sukan. Teknologi ini juga penting dalam pemantauan prestasi atlet, mengurangkan risiko kecederaan, dan mempercepatkan proses pemulihan seperti alat teknologi terapi hyperbaric, cryotherapy, anti-graviti treadmill dan lain lain lagi.
Dalam pembangunan atlet muda pula, penganalisis sukan memainkan peranan penting dalam kenalpasti bakat baharu. Dengan menggunakan analisis anthropometrik biometric, biomekanik, fisiologi, psikologi dan penilaian prestasi awal. Oelh itu, bakat muda dapat dikenal pasti dan diberi latihan berdasarkan keupayaan potensi mereka. Perancangan latihan jangka masa panjang yang berstruktur dapat melindungi atlet muda tidak mudah burn-out dan prestasi sukan naik secara progresif dan mencapai kemuncak prestasi pada masa dan waktu yang tepat.
Dari sudut pengurusan, penganalisis sukan juga dapat membantu organisasi menilai keberkesanan program dan mengoptimumkan penggunaan sumber. Kaedah penilaian risiko secara menyeluruh seperti root-cause analisis dapat memastikan keselamatan atlet dan meminimumkan masalah yang mungkin berlaku semasa latihan atau pertandingan. Penganalisis sukan juga mainkan peranan penting dalam pembentangan dapatan secara berkesan melalui kaedah saintifik seperti aplikasi swot analisis, need analisis, spider web analisis, gap analisis dan lain lain, Ia dapat menjamin kecekapan data sukan dan keberkesanan pengurusan sukan negara.
Penganalisis sukan memainkan peranan penting dalam menyokong keputusan berasaskan bukti, terutama melalui penyelidikan terkini dalam pelbagai bidang seperti kaedah latihan, psikologi, pemakanan, dan pemulihan. Pendekatan ini memastikan setiap keputusan yang diambil oleh jurulatih dan pengurus adalah berdasarkan data yang kukuh, bukannya sekadar andaian atau pengalaman semata-mata. Hal ini menjadikan pengurusan sukan lebih sistematik dan profesional. Peranan penganalisis sukan dalam menyokong keputusan berasaskan bukti adalah sangat signifikan dalam pembangunan sukan moden.
Di samping itu, penganalisis sukan turut memberikan sumbangan besar dalam aspek psikologi sukan. Mereka membantu mengenal pasti faktor mental yang boleh mempengaruhi prestasi atlet, seperti tekanan atau kebimbangan. Dengan maklumat ini, jurulatih dan ahli psikologi sukan dapat merangka intervensi yang sesuai untuk memastikan atlet berada dalam keadaan mental yang optimum sebelum bertanding. Dalam bidang pemakanan, penganalisis sukan menyediakan panduan diet yang disesuaikan dengan keperluan fizikal setiap atlet. Ini termasuk cadangan tentang nutrien penting, pengambilan kalori, dan masa makan yang sesuai bagi memastikan tubuh atlet sentiasa bertenaga dan dapat pulih dengan cepat selepas latihan mahupun pertandingan. Pendekatan yang berasaskan bukti ini mengoptimumkan tahap kesihatan dan daya tahan atlet.
Kesimpulannya, penganalisis sukan adalah komponen penting dalam memastikan kejayaan sukan di Malaysia. Dengan pendekatan saintifik, penggunaan teknologi, dan perancangan strategik, mereka mampu meningkatkan prestasi atlet dan pasukan, sekaligus membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa. Penganalisis sukan juga dapat membantu jurulatih dan pengurus sukan membuat keputusan yang lebih rasional dan berkesan. Keperluan ini harus diberi perhatian untuk terus memajukan sukan negara. Akhir kata, UTM sanjungan bangsa, Kerana Tuhan Untuk Manusia.
Disediakan oleh:
Ts Dr Hadafi Fitri Bin Mohd Latip
Pengarah Pusat Inovasi dan Teknologi Sukan UTM.