Skip to main content

Permotoran

Pendatang baru F1 AlphaTauri pertaruh Nyck de Vries

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

nyck-de-vries_1.jpg
Nyck de Vries akan kemunculan penuh sulungnya dalam kancah Formula 1 (F1) apabila diumumkan sebagai pemandu AlphaTauri, tahun depan.

Pelumba Belanda itu akan menyertai Yuki Tsunoda tahun depan bagi menggantikan Pierre Gasly yang diumumkan menyertai Alpine untuk kempen 2023 menjelang perlumbaan Grand Prix (GP) Jepun esok. 

De Vries -- yang merupakan pemandu simpanan Mercedes -- mencipta kejutan apabila mengutip dua mata musim ini selepas membuat kemunculan pertama dengan menduduki tempat kesembilan GP Itali, bulan lalu, ketika menggantikan pemandu Williams, Alexander Albon, yang tidak sihat. 

"Saya sangat teruja untuk menyertai Scuderia AlphaTauri untuk 2023," kata juara dalam Formula 2 dan Formula E itu yang pernah menghabiskan beberapa musim terakhir bekerja dengan Mercedes. 

"Selepas Formula 2, saya mengambil jalan yang sedikit berbeza dalam sukan permotoran tetapi F1 sentiasa menjadi impian saya dan saya bersyukur kerana dapat memenuhinya.



“Saya memiliki banyak peluang untuk memandu jentera tahun ini dan saya fikir ia telah meletakkan saya di kedudukan yang baik untuk musim akan datang, saya harap ia membantu persediaan saya untuk menempuhi hari yang mendatang.

“Setelah menghabiskan sebahagian besar masa remaja saya di Itali dalam perlumbaan go-kart, saya sentiasa berasa seperti di kampung halaman sendiri, jadi bagi saya sangat bagus untuk menyertai pasukan Itali yang sudah mempunyai suasana kekeluargaan yang sebenar.

"Saya tidak sabar untuk bertemu semua orang dan mula membina hubungan kami sebelum musim depan.”

De Vries akan bergandingan dengan Yuki Tsunoda di AlphaTauri tahun depan, yang telah pun disahkan menyertai skuad untuk musim ketiga.

Advertisement

Must Watch Video