Skip to main content

Sukan Asia

Pencak silat: Syazreen, Hamizah terima keputusan raih gangsa

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

sil.jpg
Pesilat negara, Nur Syazreen Abdul Malik dan Nor Hamizah Abu Bakar, menerima pingat gangsa bagi acara seni ganda puteri dengan hati terbuka walaupun berlaku kesilapan teknikal yang menyaksikan pasangan Indonesia meraih emas ketika saingan berbaki lapan saat lagi.

Dalam aksi di Gedung Padepokan Pencak Silat, pasangan Indonesia, Ayu Sidan Wilantari dan Ni Made Dwiyanti, terpaksa menghentikan aksi mereka selepas pegawai teknikal memukul gong tatkala saingan masih berbaki lapan saat, sekali gus menjejaskan rentak tuan rumah.

Bagaimanapun, pihak juri tetap memberi 574 mata buat wakil Indonesia itu.

Syazreen dan Hamizah, yang turun selaku juara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, mempamerkan aksi mantap tetapi masih tidak mampu mencabar.

Pasangan negara itu raih 558 mata untuk mengutip gangsa sementara perak menjadi milik pasangan Thailand.

Keputusan itu sekali lagi dilihat menjejaskan kredibiliti juri selepas dipalit isu tarik diri pesilat negara, Mohd Al Jufferi Jamari, ketika final tanding Putera E, kelmarin.

"Kami tidak terkejut kerana kami sudah jangkakan perkara ini dan cuma fokus untuk melakukan yang terbaik," kata Syazreen.

"Kalau diikutkan, kelebihan untuk tuan rumah kerana Sukan Asia Indonesia menampilkan pencak silat buat kali pertama. Sebenarnya, kami sudah jangkakan dan tidak boleh berharap berlebihan," tambah Hamizah.

Indonesia menyapu bersih kesemua enam emas yang dipertandingkan dalam acara seni.

Advertisement

Must Watch Video