Hasrat skuad negara untuk meraih emas dalam saingan silat tidak kesampaian apabila dua wakil terakhir negara terpaksa akur dengan pingat perak Sukan Asia 2018, sebentar tadi.

Dalam saingan di Gedung Padepokan Pencak Silat, Malaysia terpaksa menerima hakikat apabila tonggak utama negara, Mohd Al-Jufferi Jamari gagal membutirkan pingat dalam kategori Putra E 70 kilogram apabila tewas kepada wakil tuan rumah, Komang Harik Adi Putra, kelmarin.

Dengan misi mencari emas buat kontijen negara, Mohd Khaizul Yaacob turun beraksi dalam kategori Putra J 95kg berdepan wakil Vietnam, Van Tri Nguyen.

Persembahan konsisten Nguyen sepanjang tiga pusingan menyaksikan dia berjaya mengatasi wakil negara dengan keputusan 5-0.

Ketika ditemubual, Khaizul menyalahkan diri sendiri kerana bukan sahaja terlepas pingat emas, malah gagal mencari hadiah ulang tahun perkahwinannya.

"Apa yang terjadi dalam gelanggang adalah salah saya. Saya bertanggungjawab di atas kekalahan ini dan memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana gagal meraih emas," kata Khaizul.

"Saya mendahului saingan di awal pertembungan tetapi wakil Vietnam itu mula mengutip mata dan dalam pusingan ketiga, saya hilang momentum, sekali gus tewas dalam aksi ini.

"Ini adalah kejohanan terakhir saya. Tetapi jika diberikan peluang, saya akan kembali beraksi untuk Malaysia dan berusaha untuk meraih pingat emas."

Sementara itu, wakil Malaysia dalam kategori Putra F 75kg, Mohd Fauzi Khalid, pula tidak terdaya untuk mengatasi juara dunia dari Vietnam, Dinh Nam Tran, dengan jatuhan demi jatuhan yang dilakukan Nam Tran memastikan satu lagi pingat emas diraih Vietnam.

Selepas tamat pertembungan, Fauzi menyuarakan hasrat untuk menyertai barisan kejurulatihan skuad negara selepas mengakhiri karier di pentas Sukan Asia dengan meraih perak.

"