SUKAN ASIA
Pencak silat: Malaysia di landasan terbaik
Skuad silat negara berpeluang menjadi lubuk emas buat kontinjen Malaysia dalam Sukan Asia apabila empat pesilat layak ke final kategori masing-masing sambil Mohd Fauzi Khalid menarik tumpuan apabila hampir menarik diri ekoran tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil ketika pertarungan separuh akhirnya hari ini.
Mereka di landasan tepat untuk mencapai sasaran tiga pingat emas yang ditetapkan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) selain menampung kegagalan beberapa sukan lain yang bergelut di Jakarta.
Antara yang layak ke final adalah juara dunia tiga kali, Al Jufferi Jamari untuk Putra E bawah 70 kilogram, Muhammad Faizul Mohd Nasir (Putra B bawah 55kg) dan Mohd Khaizul Yaakob (Putera bawah 95kg).
Iklan
Namun, Fauzi lebih menarik tumpuan di Gedung Padepokan Pencak Silat apabila menumbangkan pesilat tuan rumah, Amri Rusdana, 3-2 walaupun hampir menarik diri ekoran tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil.
Atlet senior itu dapat mengawal emosi untuk mengesahkan tiket ke final, sekali gus menjadi pembakar semangat kepada rakan sepasukan.
Prestasi Fauzi membuktikan pesilat negara mampu menumbangkan wakil tuan rumah yang menerima banyak kelebihan di Padepokan, cuma kejayaan itu dipalit kekalahan kontroversi Muhammad Robial Sobri kepada pesilat Singapura 5-0 dalam saingan Putera I.
Juara dunia itu gagal mengawal emosi selepas ketinggalan kepada Sheikh Ferdous Sheik Alauddin, sekali gus terpaksa berpuas hati dengan gangsa.
"Saya telah menentangnya dua kali sebelum ini dan mempersiapkan diri. Ia adalah sebahagian daripada pertarungan dan saya tidak mahu memanjangkan perkara ini.
"Saya tidak mahu berkecil hati dengan apa yang telah dia lakukan dan saya sentiasa bagus," kata Sheikh Ferdous.
Sementara itu, Setiausaha Agung PESAKA, Datuk Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin, sudah bersiap-sedia dengan apa jua strategi tuan rumah apabila pesilat kedua-dua negara bertembung dalam final.
"Atlet seperti Al Jufferi, dia tiada pilihan selain mempamerkan satu permainan yang luar biasa kerana bagi saya, dia memiliki peminat yang ramai di Malaysia dan suka apabila menyaksikannya beraksi," kata Megat Zulkarnain.
"Dia perlu mendapatkan mata yang nyata kerana ia tidak akan dapat disangkal oleh sesiapa.
"PESAKA datang dengan rombongan yang besar dan kami akan menyatakan bantahan jika wujud situasi yang tidak adil.
"Mereka tidak memiliki pilihan lain dan mesti memenuhi harapan 32 juta rakyat Malaysia. Sebagai pesilat, pejuang serta atlet, mereka mesti mencapai sasaran yang ditetapkan.
"Hanya tinggal satu pertarungan dan gunakan segala kudrat yang ada," katanya sebagai pesanan kepada pesilat berkenaan.
Must-Watch Video