Selepas 12 tahun menanti, kini atlet bina badan negara, Ahmad Faiz Ariffin, berjaya membawa pulang gelaran juara dunia bagi kategori fizikal olahraga lelaki 175sm dalam Kejohanan Bina Badan dan Fizikal di Maldives pada 5 hingga 11 November lalu.

Ia bagai laluan penuh keajaiban buat Faiz apabila dia juga baru sahaja dikurniakan cahaya mata dan menganggap kehadiran anaknya itu sebagai pembawa rezeki.

"Kemenangan ini adalah permulaan kepada kejayaan mendatang dan saya percaya kejayaan ini adalah hasil daripada kerja keras serta tidak berputus asa meskipun saya terpaksa mengharungi beberapa laluan sukar terlebih dahulu," katanya.

Sementara itu, juara dunia bagi kategori wanita fizikal 35 tahun, Philomena Deaxclyn Anak Siar, turut meluahkan rasa berpuas hati atas kejayaan dua pingat diraih dan mahu menjadikan ia sebagai hadiah ulang tahun kepada ayahnya.

"Kemenangan ini saya dedikasikan istimewa buat ayah saya sempena ulang tahun kelahirannya dan saya harap dua pingat ini akan membuatkan dia tersenyum gembira," katanya.