Pemergian Akira Toriyama dan kesan ditinggalkan Dragon Ball kepada sukan wushu

Muzaffar Musa
Mac 8, 2024 19:24 MYT
Pemergian 'mangaka' terkenal, Akira Toriyama, hari ini sudah pasti menggemparkan dunia memandangkan pelukis komik berkenaan amat dikenali menerusi karya tersohornya, Dragon Ball (Mutiara Naga).
Dragon Ball mengisahkan tentang perjalanan watak utama, Son Goku, seorang mahkluk asing dari planet Vegita, yang terjatuh di bumi sebelum ditemui oleh datuk angkatnya, Son Gohan.
Karya Akira berkenaan banyak memartabatkan sukan wushu atau kung fu, di mana Son Goku mempelajari selok-belok seni mempertahankan diri itu daripada tuk gurunya, Master Roshi, sebelum memenangi Kejohanan Kung Fu Antarabangsa.
Dragon Ball amat terkenal pada era 90-an sehinggalah awal milenium lalu, kegilaan terhadap komik berkenaan turut menimbulkan rasa minat terhadap sukan wushu.
Tahukah anda, jaguh wushu negara, Wong Weng Son, juga pernah digelar Son Goku Malaysia berikutan gaya rambutnya dan busana merah atau jingga yang sering dipakainya sewaktu kejohanan.
Hari ini, tamat sudah legasi Dragon Ball apabila Akira disahkan meninggal dunia pada usia 68 tahun.
Selamat berehat 'Sensei'. Terima kasih sudah menghiasi zaman kanak-kanak kami.
Selain Dragon Ball, antara karya terkenal mangaka itu adalah Dragon Quest dan Dr. Slump. Anda minat yang mana?
#Wushu #Dragon Ball