Skip to main content

Sukan Lain

Pemenang pingat Sukan Olimpik Paris bakal rancakkan Kejohanan Cahya Mata Sarawak Super Series

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

ballard.jpg
Kejohanan Olahraga Cahya Mata Sarawak Super Series kembali bagi penganjuran edisi kedua menerusi pengesahan siri pertama pada 3 dan 4 Mei depan.

Lebih menarik lagi, siri pertama bakal dianjurkan di venue ikonik negara iaitu Stadium Merdeka yang akan mengimbau zaman kegemilangan sukan negara sekali gus membuka peluang sekali dalam seumur hidup buat atlet generasi baru merasai aura venue itu.

Saingan Super Series tahun ini juga lebih signifikan apabila direka khas untuk persiapan atlet negara ke temasya Sukan SEA Thailand yang akan membuka tirai pada Disember depan selain menawarkan pentas yang lebih kompetitif.

Namun, penganjuran edisi pertama hanya tertakluk kepada acara trek balapan, lompat jauh dan lompat kijang, kerana acara padang tidak dipertandingkan bagi menjaga kualiti permukaan padang di Stadium Merdeka.

Dalam pada itu, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mempunyai jalan penyelesaian buat atlet acara lontar peluru, lempar cakera, baling tukul besi untuk meraih kutipan mata.

KOM turut mengesahkan penglibatan kuartet 4x100 meter wanita Jerman yang memenangi pingat gangsa di Sukan Olimpik Paris dalam saingan siri pertama nanti.

Difahamkan jalinan kerjasama dan kesefahaman antara KOM dan olahraga Jerman menjadi kunci utama kuartet berkelas dunia ini hadir memberikan saingan buat wakil negara.

"Sudah sekian lama kejohanan olahraga tidak dianjurkan di Stadium Merdeka dan akan berlangsung pada 3 dan 4 Mei nanti. Bakal ada lapan Super Series termasuk Terbuka Malaysia nanti.

"Siri ini akan berlangsung pada bulan Mei, Jun dan minggu pertama Julai, kemudian Ogos, Oktober, September dan November yang akan menjurus kepada Sukan SEA pada Disember.

"Kami turut teruja kerana bakal ada penyertaan pemenang pingat  dari skuad Jerman dan akan bersaing dengan wakil negara nanti." kata Pengarah Teknikal KOM, Robert Ballard.
 

Advertisement

Must Watch Video