Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 bakal menyaksikan tuan rumah bakal menggunakan kelebihan dan fasiliti yang ada dimiliki setiap daerah dalam negeri berkenaan.

Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor ingin membawa kelainan untuk memperkenalkan venue baru seperti Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan Stadium Merdeka, Kuala Lumpur sebagai cadangan lokasi bagi memeriahkan penganjuran tersebut.

"Kami ketika perbincangan di peringkat negeri jelas ingin menggunakan semua daerah sebagai venue kerana kami mahu masyarakat menikmati pelaksanaan tersebut.




"Kami mempunyai pelbagai alternatif. Kami akan mengumumkan penganjuran ini sesuai dengan konteks negeri Selangor," kata Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohamad Najwan Halimy

Najwan Halimi yang ditemui di Jelajah Belia Madani Selangor turut menerapkan program e-sukan yang membuka ruang kepada penglibatan lebih ramai golongan belia.

"Kami mahu pastikan program e-sukan di Selangor bukan bersifat kejohanan semata-mata tetapi pembangunan bakat dan mempunyai kesinambungan seterusnya.

"Kami ada pelapis yang mahu menyambung legasi dan reputasi Selangor Red Giants (SRG)," katanya di Nadi Weekend.