SUKAN LAIN
Pemandu mabuk tidak mengaku bersalah langgar Siti Nurul Masyitah
Seorang pembantu penyelia kilang dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol hingga menyebabkan kecederaan ke atas atlet kayak negara, Siti Nurul Masyitah Md Elias, pagi tadi.
Bagaimanapun, tertuduh, R Dinesh, mengaku tidak bersalah selepas dibacakan pertuduhannya di hadapan hakim Mahkamah Majistret.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kilometer 3.5 Lebuh Raya Penyuraian Timur (EDL), pada jam 4.19 petang, 11 Mei lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987, di mana jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda sehingga RM50,000 selain hilang kelayakan memandu.
Tertuduh kemudian merayu jumlah jaminan dikurangkan kerana gajinya sebagai penolong penyelia kilang tidak sampai RM2,000 sebulan.
Majistret turut menetapkan sebutan semula pada 24 Jun depan bagi penyerahan dokumen dan lantikan peguam tertuduh.