HOKI
Pemain hoki remaja digesa elak sertai liga
Jurulatih skuad hoki remaja wanita negara, Lailin Abu Hassan, melarang barisan pemainnya daripada menyertai Liga Hoki Remaja Malaysia yang dijangka bermula bulan depan ekoran kesuntukan masa untuk membuat persiapan bagi menghadapi Piala Remaja Asia di Kakamigahara, Jepun.
Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) merancang untuk menganjurkan Liga Hoki Remaja sebaik tamat kempen Liga Hoki Malaysia (LHM), 22 Februari ini.
Perancangan itu bagi menamatkan saingan remaja berkenaan sebelum Ramadan.
Ia memberi cabaran kepada jurulatih itu untuk memulakan kem latihan pertama, sekali gus terpaksa melarang barisan anak buahnya daripada menyertai liga.
"Perbincangan yang melibatkan jawatankuasa pertandingan bersama semua pengurus pasukan akan diadakan untuk menentukan cara yang sesuai bagi pertandingan itu dilangsungkan.
"Bagi saya, sebaik-baiknya pemain-pemain ini dikecualikan bagi memberi peluang kepada kami untuk membuat persiapan untuk kem di Jepun," katanya hari ini.
Skuad remaja wanita negara dijadual menyertai Piala Remaja Asia di Jepun, April depan, selaku kelayakan Piala Dunia Remaja Wanita 2021.
Malaysia berpeluang untuk mencipta sejarah layak buat julung kalinya selepas China menarik diri ekoran penularan wabak koronavirus.
"Saya berasakan ini satu peluang yang besar untuk pasukan negara meraih kedudukan tiga terbaik."
Editor: Shaiful Shamsudin