OLAHRAGA
Peluang Ziyad uji kemampuan cabar atlet normal
Atlet lontar peluru Paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli, enggan mensia-siakan peluang untuk mempertaruhkan aksi terbaik dalam saingan Terbuka Singapura yang bermula esok, di mana ia menjadi kejohanan pertamanya bersama atlet normal.
Ziyad yang belum pernah menyertai mana-mana kejohanan bersama atlet normal sebelum ini ingin memastikan sasarannya untuk melakukan lontaran melebihi 17.15 meter akan berjaya, di mana turut menjadi syarat kelayakan secara merit ke Sukan SEA Kuala Lumpur, 19 hingga 30 Ogos depan.
Setakat ini, catatan peribadi terbaiknya adalah 17.12m yang dilakukannya di Leipzig, Jerman, tahun lalu.
Iklan
Biarpun menjadi atlet tunggal Paralimpik kategori F20 yang bakal bersaing, sekurang-kurangnya ia dapat memberi peluang kepada pemenang pingat emas Paralimpik Rio itu mengharungi suasana sebenar Sukan SEA.
"Ia pengalaman bermakna yang berharga kerana saya belum pernah bertanding di samping atlet normal.
"Ia merupakan satu penghargaan dan peluang untuk saya mencuba yang terbaik dalam Terbuka Singapura," katanya.
Selepas ini, Ziyad ingin fokus kepada misi untuk mempertahankan gelaran sebagai pemegang rekod dunia dengan lontaran 16.84m dalam Kejohanan Olahraga Dunia Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) , Julai depan di London.
Must-Watch Video