HOKI
Peluang ke Piala Dunia memang sukar -- Dhaarma
Peluang masih belum tertutup buat skuad hoki wanita negara layak ke Piala Dunia tahun depan meskipun gagal melakukannya ketika kempen Separuh Akhir Liga Hoki Dunia Wanita di Brussels, Belgium, bulan lalu.
Malaysia gagal melakar sebarang kemenangan dalam lima perlawanan yang diharungi dan menamatkan saingan di tempat ke-10 dalam kejohanan itu.
Namun jika diteliti, skuad hoki wanita negara mampu untuk memberikan cabaran kepada kuasa besar dunia, antaranya Australia, New Zealand dan Scotland.
Iklan
Justeru, satu lagi slot perlu direbut, iaitu muncul juara Piala Asia di Jepun pada November depan, jika berhasrat untuk beraksi dalam Piala Dunia di London.
"Kita mampulah kalau kita mampu mengikut (berjaya) jalan yang lebih susah. Memang nampak susah. Di atas kertas, peluang masih lagi terbuka dalam Piala Asia," kata jurulatih, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah.
Fokus skuad kini adalah persiapan untuk Sukan SEA, 19-30 Ogos ini, seperti yang ditetapkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dengan misi mempertahankan emas yang dimenangi di Singapura, dua tahun lalu.
"Bagi saya, prestasi pasukan berada di tahap yang paling baik. Prestasi semasa pasukan memang memberangsangkan untuk kami bermain dalam Sukan SEA nanti," kata kapten pasukan, Siti Noor Amarina Ruhani.
Must-Watch Video