Skip to main content

Sukan Lain

Pelari pecut meningkat naik, Danish Iftikhar sedia cabar Azeem Fahmi?

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

azeem.jpg
Ketika nama Azeem Fahmi sering disebut sebagai jaguh pecut utama negara, kini muncul satu lagi watak baharu yang sedang hangat diperkatakan dalam arena olahraga Malaysia, Danish Iftikhar Muhammad Roslee. 

Atlet muda berusia 18 tahun itu dilihat semakin hampir untuk menjadi pencabar serius kepada Azeem dalam acara pecut 100 meter (m) dan 200m. 

Kemunculan Danish semakin mendapat perhatian selepas mencatat masa 10.26 saat (s) dalam acara 100m dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Kangar, Perlis pada 29 Ogos lalu untuk meninggalkan pelari Korea Selatan, Kim Si On (10.31s), dan Jonathan Nyepa (10.40s) yang melengkapkan podium.

 


Catatan tersebut bukan sahaja memperbaharui rekod peribadinya, malah melayakkan dirinya ke Sukan SEA Thailand yang akan berlangsung Disember depan. 

Ia turut meletakkannya dalam kelompok pelari terpantas Asia Tenggara ketika ini, malah lebih laju daripada masa yang dicatatkan pemenang emas Sukan SEA 2023 iaitu 10.37s. 

Sebagai perbandingan, Azeem masih kekal sebagai pelari terpantas negara dengan rekod 100m kebangsaan 10.09s. 

Pertembungan antara Danish dan Azeem dalam Kejohanan Olahraga Terbuka India pada awal Ogos juga masih memihak Azeem yang memperoleh emas dengan catatan 10.35s, manakala Danish bawa pulang pingat gangsa dengan catatan 10.50s. 

Namun, dengan peningkatan pantas yang ditunjukkan Danish, jurang masa antara kedua pelari ini semakin mengecil.

 


Persaingan ini dijangka bakal mewarnai pentas olahraga negara menjelang kejohanan besar seperti Sukan SEA dan Sukan Asia. 

Sekiranya momentum ini berterusan, Malaysia berpotensi menyaksikan persaingan dua generasi pelari muda yang mampu mengangkat semula status sukan pecut di rantau ini.

Advertisement

Must Watch Video