SUKAN LAIN
PBJM mahu MSN iktiraf kejayaan skuad bola jaring remaja
Presiden Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM), Alwiyah Talib, berharap Majlis Sukan Negara (MSN) akan mengiktiraf kejayaan skuad bawah 21 tahun (B-21) negara menjuarai Kejohanan Bola Jaring Remaja Asia di Jepun, kelmarin.
Skuad bola jaring remaja negara diangkat sebagai pasukan bola jaring remaja terbaik di Asia apabila mengalahkan Singapura 57-48 dalam final.
Beliau bangga dengan kejayaan skuad B-21 kebangsaan memandangkan turut berjaya melunaskan balas dendam skuad negara selepas tewas kepada pesaing dari seberang itu dalam final edisi 2017 di Korea Selatan.
"Kami akhirnya berjaya mengalahkan Singapura dan Sri Lanka.
"Saya ingin ucapkan terima kasih kepada barisan kejurulatihan serta pengurusan yang begitu komited menerusi persiapan selama tiga bulan untuk membentuk pasukan yang mantap," ujarnya.
Justeru, Alwiyah berharap MSN akan mengusahakan sedikit perancangan insentif sebagai pemangkin semangat skuad negara dalam Sukan SEA Filipina 2019, dari 30 November hingga 11 Disember depan.
"Jika sedikit insentif diberikan oleh pihak kementerian, saya berasakan pemain-pemain ini akan berasakan penat lelah mereka (berbaloi).
"Sudah tentu mereka mewakili negara tetapi terpulang kepada keprihatinan negara," tambah beliau.
Selain meraih gelaran keenam, kejayaan tersebut juga melayakkan Malaysia ke Piala Dunia Remaja 2021 di Fiji.