Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, menzahirkan kata-kata semangat kepada kontinjen negara ke Sukan Olimpik yang bermula 26 Ogos, sementara Paralimpik Paris 2024 dari 26 Ogos depan.

Dalam satu pengumuman menerusi Royal Press Office (RPO), Sultan Ibrahim bertitah: "Saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada semua atlet-atlet negara yang akan bertanding pada Sukan Olimpik 2024.

“Bersama-sama kita mendoakan kecemerlangan buat atlet-atlet yang mewakili negara ke temasya Olimpik dan Paralimpik."

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kontinjen Malaysia ke temasya itu di Istana Negara, hari ini.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan; Hannah Yeoh, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, dan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Megat D Shariman.




Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Chef De Mission (CDM) kontinjen negara ke Sukan Olimpik, Datuk Hamidin Mohd Amin serta CDM kontinjen negara ke Sukan Paralimpik, Datuk Subramanian Raman Nair.

Seramai 26 atlet kebangsaan akan mengambil bahagian dalam Sukan Olimpik sementara Sukan Paralimpik pula melibatkan seramai 20 atlet.