OLIMPIK PARIS

Paris 2024: Terjunan Dhabitah terus ditagih!

Ammar Hakim 01/07/2024 | 10:42 MYT
Terjunan Dhabitah terus ditagih! Selepas Bertrand Rhodict melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris, skuad terjun negara menghela nafas lega apabila ada penambahan slot yang diberikan menerusi acara 3 meter papan anjal wanita menyaksikan cabaran itu bakal digalas ratu terjun negara, Nur Dhabitah Sabri.
Peluang untuk beraksi buat kali ketiga di pentas berprestij Sukan Olimpik merupakan satu penantian yang manis buat penerjun berusia 24 tahun itu kerana pada awalnya dia sudah pasrah jika tiada slot yang diberikan.
Penantian itu suatu penyeksaan tetapi akhirnya menjadi kenyataan, itulah yang dirasai Dhabitah pada awalnya apabila terpaksa menunggu lama untuk slot tambahan daripada pihak Akuatik Dunia.
Walaupun mempunyai pengalaman beraksi di pentas Sukan Olimpik, pemenang pingat perak dan gangsa di Sukan Asia Hangzhou tahun lalu menyedari cabaran yang bakal digalas dalam edisi kalini bukannya mudah justeru tidak mahu memberikan tekanan tinggi pada diri sendiri.
"Saya akan mengambil langkah demi langkah. Perkara paling utama adalah kepada terjunan saya berbanding memikirkan pencabar di Paris nanti.
"Semestinya saya mahu disertai seorang lagi penerjun, saya berharap Ooi Tze Liang turut akan terpilih bersaing di sana."
Jika benar ada satu lagi slot tambahan, nama Ooi Tze Liang berkemungkinan besar yang akan mengisi tempat itu dalam acara 3 meter papan anjal lelaki.
Selepas itu, barulah perancangan menghantar penerjun yang layak ke United Kingdom untuk persiapan terakhir akan dipastikan dalam masa terdekat.
#Sukan Olimpik #Terjun #Nur Dhabitah Sabri #Paris 2024
;