Paris 2024: Slot kedua skuad berbasikal trek negara belum terjamin
Ammar Hakim
April 25, 2023 20:42 MYT
April 25, 2023 20:42 MYT
Slot kedua skuad berbasikal trek negara ke Sukan Olimpik Paris 2024 menerusi Shah Firdaus Sahrom masih belum terjamin.
Ini kerana selagi proses pungutan mata kelayakan masih berjalan dalam beberapa siri kejohanan yang bakal disertai.
Bagaimanapun, Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh, yakin terhadap prestasi Shah Firdaus yang memberangsangkan dalam Kejohanan Piala Negara-Negara baru-baru ini yang mampu memberi peluang kelayak ke temasya Sukan Olimpik tahun depan.
"Saya mahu mengatakan proses kelayakan masih lagi berjalan. Terdapat beberapa lagi kejohanan yang perlu disertai atlet berbasikal trek negara. Mata kelayakan ke Sukan Olimpik akan diberikan dalam kejohanan tersebut dan ia akan diumumkan pada tahun hadapan," katanya.
"Buat masa ini, kami gembira dengan perkembangan atlet negara, kami perlu mengekalkan momentum atlet negara untuk menghadapi kejohanan ini sekaligus mencerahkan peluang buat mereka layak ke sana nanti."