OLIMPIK PARIS
Paris 2024: Skuad bola sepak Argentina dirompak sehari sebelum perlawanan
Jurulatih bola sepak Argentina, Javier Mascherano memaklumkan bahawa pusat latihan pasukan kendaliannya dalam Sukan Olimpik Paris 2024 dirompak sehari sebelum perlawanan pembukaan menentang Maghribi pada Rabu lalu.
Pihak pendakwa raya berhampiran Saint-Etienne mengesahkan laporan polis telah dibuat oleh kontinjen Argentina semalam.
"Mereka datang ke pusat latihan dan merompak kami," kata Mascherano selepas pasukannya tewas 1-2 kepada Maghribi.
Pemain tengah, Thiago Almada adalah antara yang mengalami kerugian selepas jam tangan dan beberapa barang peribadi dicuri.
Ia juga merupakan permulaan yang kurang baik buat skuad Argentina yang berjaya meraih pingat emas pada Olimpik 2004 dan 2008.
Atlet lumba berbasikal BMX Australia, Logan Martin juga dilanda nasib yang sama selepas keretanya dipecah masuk beberapa hari sebelum dia beraksi.
Logan yang berusia 30 tahun itu mendedahkan menerusi video yang dimuatnaik ke Instagram miliknya bahawa beberapa barangan peribadinya telah dicuri ketika menjalani latihan di Brussels, Belgium.
Dia juga bagaimanapun mampu menghembuskan kelegaan selepas basikalnya tidak disentuh dan dicuri dalam insiden pahit itu.