Pelari 400m wanita negara, Shereen Samson Vallabouy, menegaskan bahawa dia sedia menerima apa sahaja keputusan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) bagi menentukan sama ada dia atau jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi, yang akan diberikan tiket Universal untuk beraksi di temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Meskipun menaruh harapan beraksi di kejohanan berprestij itu, pemenang pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou itu tetap optimis dengan keputusan yang bakal diambil oleh KOM adalah yang terbaik buat kontinjen malaysia.

Terdahulu, Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim, memutuskan untuk mengumumkan wakil malaysia yang akan menggalas cabaran tersebut pada 2 Julai depan.

"Saya akan menuruti apa sahaja keputusan yang akan dibuat oleh badan induk sukan tersebut dan menumpukan sepenuh tumpuan terhadap cabaran seterusnya.

"Sebagai seorang atlet, saya sangat berbangga jika dapat diberi peluang mewakili negara dalam kejohanan terbesar itu namun, saya menyerahkan segalanya kepada KOM untuk membuat kata putus," katanya.