Paris 2024: Sains Sukan dan Integrasi Kenalpasti Bakat, Pencarian Bakat, dan Pembangunan Bakat

Dr. Hadafi Fitri Mohd Latip
Ogos 11, 2024 16:36 MYT
Kaedah Sains Sukan iaitu Kenalpasti Bakat (Talent Identification) dan Pembangunan Bakat (Talent Development) adalah dua aspek penting untuk membina atlet berprestasi tinggi.
Kenalpasti Bakat bertujuan untuk mengenal pasti individu yang mempunyai potensi luar biasa dalam sukan tertentu melalui penilaian fizikal, psikologi, dan biomekanik. Ujian fizikal seperti lompatan menegak dan larian pecut digunakan untuk mengukur kemampuan fizikal, ujian psikologi menilai kesungguhan dan kekuatan mental, ujian biomekanik sukan seperti anthropometrik, analisis pergerakan dan ujian force (tekanan). Dalam sesetengah kes, analisis genetik turut di gunakan untuk mengenal pasti ciri-ciri yang berkait rapat dengan prestasi sukan.
Pencarian Bakat ataupun scouting melibatkan usaha mencari bakat sukan yang mungkin tersembunyi melalui pelbagai sumber seperti pertandingan sekolah, latihan kelab sukan, kawasan kampung dan pendalaman, ataupun bakat anak tempatan yang berada di luar negara. Strategi utama termasuk pengawasan secara langsung di dalam acara sukan yang disertai dan kerjasama dengan jurulatih bakat negeri dan negara. Penggunaan teknologi seperti analisis data video juga memainkan peranan penting dalam menilai bakat secara objektif dimana kesahan dan kebolehpercayaan yang tinggi. Proses ini membolehkan pengintip sukan (scouts) mengenal pasti atlet yang menunjukkan prestasi luar biasa dan mempunyai ciri ciri yang diperlukan dalam sesuatu sukan seperti ketinggian (panjang tangan, panjang kaki), bentuk badan (endomorph, ectomorph & mesomorph), faktor keazaman dan kesungguhan yang tinggi dan pelbagai lagi.
Setelah bakat di kenalpasti, fasa pembangunan bakat bertujuan untuk mengasah kemahiran dan keupayaan atlet melalui latihan sistematik dan berstruktur melalui perodisasi latihan yang berkesan. Fasa Pembangunan bakat tidak semestinya berada di negara Malaysia, kita boleh lihat kejayaan dan kehebatan Datuk Nicol David dan Dato Azizul Hasni Awang di mana bakat mereka di gilap melalui latihan di luar negara dengan menggunakan kaedah latihan sains sukan yang berkesan. Fasa asas melibatkan latihan kemahiran asas dan teknik sukan, serta pembentukan mentaliti dan disiplin. Fasa pertengahan pula memberi tumpuan kepada pengkhususan sukan dan peningkatan kemahiran teknikal serta taktital. Fasa lanjutan melibatkan latihan intensif dan penyertaan dalam pra pertandingan dan pertandingan elit untuk mempertingkatkan prestasi atlet.
Proses Kenalpasti Bakat, Pencarian Bakat, dan Pembangunan Bakat perlu di integrasikan secara efisien dalam satu kitaran berterusan dan melibatkan semua pihak. Model Quadraple Helix iaitu kerjasama erat 4 Kementerian utama di Malaysia dalam menterjemahkan bakat sukan negara seperti KPM, KPT, KBS dan KESUMA. Selain itu, konsep GUCI juga perlu diperkasakan iaitu penglibatan Government (KBS), Universiti (BIDANG TUJAHAN), Community (WARGA SUKAN) dan INDUSTRI SUKAN. Pencarian bakat baharu sentiasa di jalankan, di ikuti dengan pemantauan, penilaian dan pembangunan bakat secara berperingkat sehingga lahir jaguh negara seperti Allahyarham Mokhtar Dahari, Datuk Misbun Sidek, Dato Dr. M. Jegathesan dan lain lain. Kerjasama antara pelbagai pihak seperti jurulatih, pengurus, pengurusan sukan, pasukan sains sukan dan teknologi sukan adalah penting untuk memastikan keberkesanan proses ini.
Penggunaan teknologi dan data juga memainkan peranan penting dalam proses ini. Data prestasi atlet di analisis secara berterusan untuk penyesuaian program latihan dan memastikan pembangunan bakat seiring dengan perkembangan mereka. Ini membolehkan program pembangunan bakat atlet menjadi lebih berkesan dan responsif terhadap keperluan individu. Di Malaysia, program pembangunan bakat yang di jalankan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dan disokong oleh Institut Sukan Negara (ISN) menggunakan pelbagai ujian saintifik untuk mengenal pasti dan mengasah bakat atlet muda. Pusat Satelit Sukan Negara (kerjasama ISN – Universiti di Malaysia) juga perlu memberikan sokongan teknologi dan analisis data untuk meningkatkan keupayaan pengesanan dan pembangunan bakat baru di Malaysia.
Malaysia mempunyai potensi besar untuk melahirkan jaguh emas Olimpik, terutamanya dengan populasi yang melebihi 30 juta dan pelbagai bakat yang meluas dalam sukan. Negara Australia adalah salah satu negara contoh dengan kepadatan penduduk yang rendah dengan populasi sejumlah 26 juta mampu menghasilkan pingat emas yang tinggi bersama aplikasi sains dan teknologi sukan. Dengan integrasi yang berkesan antara Kenalpasti Bakat, Pencarian Bakat, dan Pembangunan Bakat, Malaysia dapat membina asas yang kukuh untuk melahirkan atlet bertaraf dunia yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Proses ini bukan sahaja meningkatkan pencapaian sukan negara tetapi juga memastikan kelestarian prestasi atlet di peringkat global. Penggunaan teknologi moden dan sokongan saintifik, seperti yang disediakan oleh Institut Sukan Negara (ISN), membantu dalam merancang dan memantau program latihan serta memastikan prestasi atlet di tahap optimum.
Selain daripada aspek fizikal, pembangunan mentaliti pemenang dan daya tahan mental juga penting untuk melahirkan jaguh Olimpik Dunia. Atlet yang berjaya bukan sahaja perlu mempunyai kekuatan fizikal, tetapi juga ketahanan mental yang tinggi yang terlatih. Program yang merangkumi aspek psikologi sukan boleh membantu atlet mengatasi tekanan dan cabaran di peringkat tertinggi terutama Olimpik. Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara boleh mula membekalkan alat teknologi psikologi sukan seperti truth detector, mental mind device, 3D environmental cave training, dan pelbagai lagi kepada setiap negeri sebagai latihan psikologi sukan. Sokongan yang berterusan dari kerajaan dan sektor swasta dalam menyediakan dana dan kemudahan latihan yang baik adalah kunci untuk menjamin pembangunan bakat sukan yang berterusan.
Pendedahan kepada pertandingan antarabangsa secara konsisten juga penting untuk membiasakan atlet dengan suasana pertandingan di peringkat global. YA benar, ia melibatkan kos yang tinggi akan tetapi terbukti keberkesanan pendedahan pertandingan antarabangsa secara kerap dapat meningkatkan prestasi atlet. Penyertaan dalam kejohanan antarabangsa memberi pengalaman yang berharga dan membantu atlet menyesuaikan diri dengan tekanan pertandingan besar seperti Olimpik dan kejohanan dunia. Dengan adanya, dasar sukan yang holistik, lebih ramai anak muda akan terdorong untuk menyertai sukan dan bercita-cita menjadi juara Olimpik Dunia. Melalui usaha yang bersepadu dan komitmen dari semua pihak, Malaysia berpotensi untuk melahirkan jaguh emas Olimpik Dunia di masa depan. Dengan hikmah kita teroka, KERANA TUHAN UNTUK MANUSIA.
PENULIS
TS DR HADAFI FITRI MOHD LATIP
PENSYARAH KANAN SAINS SUKAN
UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA.
;