Paris 2024: Pulang ke Belgium selepas beberapa hari terlantar akibat berenang di Sungai Seine
Ogos 8, 2024 13:45 MYT
Peserta triathlon dari Belgium, Claire Michel, mendedahkan bahawa keadaannya sudah beransur pulih berikutan terpaksa menarik diri selepas berenang di Sungai Seine.
Dia terlepas untuk beraksi dan pulang ke Belgium malam tadi selepas tiga hari mengalami muntah teruk dan cirit-birit. Masalah kesihatan yang melandanya disahkan berpunca daripada jangkitan virus, namun bukanlah e. coli.
Selepas meraih tempat kelima dalam temasya Tokyo tiga tahun lalu, ketiadaannya mendorong rakan sepasukannya tidak dapat meneruskan pertandingan acara berganti-ganti pasukan campuran triathlon di Paris.
Meskipun kecewa, dia menegaskan projek 'Belgian Hammers' itu bukan sekadar pencapaian semata-mata, sebaliknya menjadi simbolik kepada perjuangan hingga ke detik akhir dan menyokong antara satu sama lain.
"Terima kasih semua atas mesej yang mendoakan kesembuhan saya. Saya melakukan yang terbaik untuk kembali kepada semua orang dan saya sangat menghargai kasih sayang yang ditonjolkan," katanya.
Dalam renangan sejauh 1500-meter itu, rakan sepasukannya, Jolien Vermeylen, menyelar penganjur kerana mengadakan pertandingan di Sungai Seine itu sambil mengakui telah ternampak sesuatu yang tidak patut ketika berenang.