BERBASIKAL
Paris 2024: Perkara sama terjadi di Rio 2016, Jason Kenny dibenar lumba semula
Malaysia dikejutkan dengan berita penyingkiran jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, seawal pusingan pertama dalam acara keirin Sukan Olimpik Paris 2024, semalam.
Ini selepas dia dibatalkan penyertaan gara-gara memotong terlalu awal sebelum derny keluar sepenuhnya daripada trek di Velodrom Nasional Perancis, malam tadi.
Kejadian sama berulang ketika edisi di Rio 2016 apabila dua pelumba, Jason Kenny dan Datuk Azizulhasni Awang, melebihi derny sebelum meninggalkan trek namun, tiada penyingkiran berlaku.
Insiden tersebut hampir membuatkan pelumba dari Great Britain itu hilang kelayakan bergelar juara sebelum perlumbaan semula bermula kerana melanggar peraturan acara itu.
Perlumbaan diberhentikan selama beberapa minit untuk memberi ruang ketua komisar dan wakil Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) memainkan semula rakaman itu mengenai perkara itu.
Bagaimanapun, perlawanan itu sekali lagi dihentikan buat kali kedua selepas pelumba dari Jerman, Joachim Eilers, pula memecut laju melepasi derny.
Selepas menyemak semula rakaman itu, akhirnya keputusan membenarkan semua pelumba kembali dalam perlumbaan dan ia dimulakan semula untuk kali ketiga sebelum Kenny menoktahkan kemenangan untuk menggondol pingat emas.