Paris 2024: Pemain hoki Australia, Tom Craig ditahan beli dadah

Saufi Tahir
Ogos 8, 2024 00:49 MYT
Pihak berkuasa Perancis menahan pemain hoki Australia, Tom Craig, selepas disyaki membeli dadah jenis kokain daripada pengedar di tengah kawasan perumahan di Kota Paris, semalam.
Kali terkahir atlet berusia 28 tahun itu beraksi adalah saingan suku akhir dengan menyaksikan negaranya tewas kepada Belanda 2-0.
Dalam pada itu, Jawatankuasa Olimpik Australia dalam satu kenyataan rasmi menjelaskan bahawa pemenang pingat perak dalam edisi Tokyo 2021 itu telah dibebaskan tanpa tuduhan dan hanya diberikan amaran keras.
Namun, dalam satu video terbaru dia meminta maaf di atas melakukan tindakan yang tidak bertanggungjawab ketika mewakili negara ke temasya sukan paling berprestij itu.
"Pertama sekali saya memohon maaf. Saya telah melakukan kesilapan dan mengambil tanggungjawab penuh atas tindakan saya ini.
"Tindakan saya adalah berunsurkan peribadi dan tidak mencerminkan keluarga, pasukan, sahabat saya, sukan hoki mahupun Jawatankuasa Olimpik Australia." Katanya kepada media.
#Australia #Hoki #Paris 2024 #Tom Craig